Malaysia belum bersedia sepenuhnya


Malaysia belum bersedia sepenuhnya
06 April 2025 09:00am
Masa membaca: 3 minit

Kenaikan tarif eksport oleh AS memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia, khususnya sektor pembuatan. Gambar hiasan

WALL Street menjunam selepas pengumuman kenaikan tarif oleh Presiden Donald Trump. Dow Jones kehilangan hampir 1,700 mata atau empat peratus manakala Nasdaq terjun 1,050 mata iaitu hampir enam peratus. Secara keseluruhan nilai kapital di bursa AS menjunam AS$2.5 trilion.

Di United Kingdom pula, FTSE 100 merosot 1.5 peratus, Nikkei kehilangan 2.3 peratus, DAX German menurun tiga peratus manakala ekonomi Singapura yang bergantung kuat kepada AS kerugian 2.5 peratus, walaupun hanya dikenakan tarif 10 peratus, terendah di kalangan semua.

Malaysia, walau bagaimanapun belum terjejas. Indek KLSE hanya terjejas kurang satu peratus, menurun hanya 15 mata pada penghujung hari urus niaga 4 April.

Jika diandaikan bahawa ekonomi Malaysia terasing (isolated) dan terpisah (insulated) dari ekonomi dunia, pastinya ini tidak tepat.

Kenaikan tarif eksport oleh AS pastinya memberi kesan kepada teras-teras utama ekonomi negara termasuklah pelaburan, rantaian pengeluaran dan permintaan, tekanan inflasi dan kadar pengangguran.

Kita juga harus ambil maklum bahawa kadar pelaburan asing di negara telah merosot sebanyak 9.6 peratus dari RM188.4 bilion pada tahun 2023 kepada RM170.4 bilion pada tahun 2024.

Pada masa sama, lebihan nilai dagangan (Januari dan Februari setiap tahun) pula terus menurun dari RM37.7 bilion (2023) kepada RM21.4 bilion (2024) kemudian menjunam kepada RM16.3 bilion pada tahun 2025. Semenjak 2023 sehingga 2025, nilai lebihan dagangan telah menyusut hampir 57 peratus.

Kesan kenaikan tarif eksport pastinya akan terasa dalam masa terdekat. Memandangkan nilai eksport sebanyak RM43.43 bilion adalah ke AS, impak langsung kepada sektor pembuatan di negara akan menjadi ketara.

Persoalan yang ada sekarang ialah apakah langkah yang bakal diambil oleh Kerajaan Madani untuk mengurangkan impak tersebut. Sektor utama yang akan terkesan ialah elektronik dan semikonduktor, perabot dan barangan kayu, getah dan sarung tangan perubatan dan produk minyak sawit.

Tiga sektor terakhir yang disebutkan di atas adalah industri tulen negara (indigenous) dengan rantaian pengeluaran dan permintaan (supply chain) sedia ada, juga sektor terpenting dalam penyediaan peluang pekerjaan.

Keruntuhan sektor eksport tersebut, diambil kira dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan, bolehlah disimpulkan sebagai seperti jatuh ditimpa tangga kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.

Sekiranya berlaku penguncupan eksport sebanyak 20 peratus ke AS, kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ialah penurunan sebanyak 1.8 peratus bagi tahun 2025.

Persoalan yang terus menjadi tanda tanya ialah sama ada Kerajaan Madani bersedia menghadapi gelombang tsunami ekonomi sebegini.

Berapa ampuhkah kedudukan ekonomi negara semasa sebagai persediaan untuk memberikan soft landing kepada rakyat dan juga industri kecil yang terlibat secara langsung. Apakah akan ada perubahan dasar dalam strategi eksport negara seperti keterlibatan di dalam BRICS.

Terlalu banyak soalan tetapi masih tiada jawapan yang tuntas daripada Kerajaan Madani. Malah kenyataan media daripada MITI ternyata penuh dengan retorik yang sering kali kita dengar. Kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara masih tidak dapat dijangkau, selain memberi gambaran bahawa impak tersebut adalah besar.

Malah amatlah merisaukan kerana kadar sebenar kenaikan tarif belum dapat dipastikan, mencerminkan tiadanya jalinan komunikasi yang baik antara Kerajaan Madani dan negara kita.

Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kenyataan media tersebut sangat membimbangkan serta membawa maksud bahawa sebenarnya Malaysia belum bersedia dan belum sepenuhnya faham wabak ekonomi yang menyerang.

Kenaikan tarif eksport ke AS sebanyak 24 peratus seperti yang dilaporkan oleh CNA Singapura pada Sabtu, pastinya akan menjadikan barangan eksport negara kurang berdaya saing terutamanya kepada sektor getah, sarung tangan perubatan dan produk minyak sawit di mana persaingan harga adalah asas kepada permintaan.

* Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Biro Ekonomi Bersatu

Ulasan