
Malaysia perlu sedia hadapi gelombang perdagangan global
KADAR tarif yang dikenakan pentadbiran Trump terhadap Malaysia adalah 47 peratus dengan kadar diskaun sebanyak 24 peratus.
Oleh SABRINA ZULKIFLI
14 April 2025, 7:40 am
PENGUMUMAN Presiden Amerika Syarikat (as), Donald Trump mengenai pelaksanaan tarif baharu ke atas barangan import berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Kadar tarif yang dikenakan pentadbiran Trump terhadap Malaysia adalah 47 peratus dengan kadar diskaun sebanyak 24 peratus.
Langkah tersebut dijangka menjejaskan negara-negara membangun termasuk Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dasar perdagangan global ini.
Ujarnya, kerajaan dan pemain industri perlu mengambil pendekatan teliti bagi mencari jalan terbaik untuk berunding seterusnya mengelakkan masalah ekonomi di masa hadapan.
“Kita perlu bersedia dari sekarang, antaranya dengan mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara ASEAN dan mempercepatkan peralihan ke arah pengeluaran bernilai tambah tinggi.
“Selain itu, kerajaan juga perlu memantau keadaan ekonomi dengan teliti sebelum mempertimbangkan sebarang suntikan rangsangan fiskal.
“Kita belum nampak krisis yang nyata, tetapi perlu bersedia dan mencari ruang sama ada melalui penyasaran subsidi atau sumber baharu,” katanya pada Forum Bicara Persada Tarif Trump: Kesan dan Langkah Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, Malaysia masih berpeluang meneroka pasaran baharu melalui kerjasama serantau, terutamanya dengan negara-negara ASEAN dan China.
Namun jelasnya, peluang tersebut mungkin terjejas sekiranya pentadbiran Trump kembali memberi tekanan kepada negara-negara Arab di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berpotensi menjejaskan kestabilan blok perdagangan global.
“Kita ada potensi besar dalam kerjasama ASEAN iaitu China, terutamanya melalui cadangan ASEAN-GCC-China yang dijangka diumumkan pada sidang kemuncak ASEAN hujung Mei nanti. Malaysia juga telah memeterai perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan akan memperluas kerjasama bersama Kanada.
“Jika Trump kembali memberi tekanan kepada negara-negara Arab, mereka mungkin akan mula menarik diri atau berhenti menandatangani perjanjian perdagangan bebas, termasuk dengan ASEAN atau China. Ini akan menyukarkan usaha membina pasaran alternatif di masa depan,” katanya.
Felo Bersekutu MINDA-UKM merangkap Profesor Adjung di Graduate School of Business (UKM-GSB), Ir. Dr. Mohd. Shahreen Madros pula berkata, perubahan dalam rantaian nilai global yang semakin menjurus kepada strategi ‘on-shoring’ atau membawa semula industri ke negara asal memberi tekanan besar kepada negara membangun seperti Malaysia.
Menurutnya, industri makanan halal tempatan juga berada dalam keadaan rapuh kerana Malaysia masih bergantung kepada bahan mentah dari luar negara.
“Semua orang kini mahu membawa pulang industri masing-masing, terutamanya AS yang mahu mengukuhkan semula sektor pembuatan domestik. Kita baru sahaja melepasi fasa Covid-19, kini kita berdepan pula dengan gelombang Trump yang memberi kesan hampir serupa.
“Dua pertiga daripada bahan makanan kita diimport dari Indonesia, Thailand dan Vietnam. Bagaimana kita mahu bersaing jika asas bekalan pun kita tidak kuasai?” ujarnya.
Malaysia yang mempunyai jumlah penduduk hanya sekitar 34 juta, jumlah yang lebih kecil berbanding negara jiran akan menyebabkan kos buruh dan kapasiti pengeluaran lebih rendah.
Dengan itu, sudah tiba masanya Malaysia melaksanakan dasar yang lebih berani dan menyeluruh untuk melahirkan juara industri bertaraf global.
“Negara jiran ada tenaga kerja lebih murah dan sumber bahan mentah lebih banyak. Kita tidak boleh bersaing dari segi jumlah pengeluaran tetapi kita perlu fokus kepada nilai tambah. Itu realitinya. Selagi kita masih bergantung kepada harapan bahawa akan ada pelabur besar datang menyelamatkan kita, kita akan terus ketinggalan.
“Lihat Korea Selatan pada 1970an, mereka setaraf dengan kita tapi kini mereka ada Hyundai, Samsung dan pelbagai nama besar. Kita pula masih tertanya-tanya ke mana hala tuju kita,” katanya.
Mohd. Shahreen turut menekankan isu utama bukanlah kekurangan bakat, sebaliknya kegagalan memanfaatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan yang telah dilakukan sejak merdeka.
“Kita mempunyai ramai bakat tempatan yang berkualiti, namun tanpa pembangunan industri berteknologi tinggi, mereka akan mencari peluang di luar negara. Akhirnya, kita sendiri yang merungut tentang ‘brain drain’.
“Hakikatnya, semua ini berpunca daripada dasar yang tidak sampai ke peringkat akar umbi. Jika perkara ini tidak diperbetulkan, kita akan terus berlegar dalam kitaran yang sama,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan