‘Mana lambang Islam agama rasmi negara?’


‘Mana lambang Islam agama rasmi negara?’

Tiada lambang bulan pada bendera Malaysia diterbit Sin Chew Daily
April 16, 2025


KUANTAN: “Mana (hilang) lambang anak bulan sebagai simbol Islam sebagai agama rasmi negara?” soal Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar dipercayai merujuk kepada akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Beliau menerusi media sosial miliknya turut menyertakan sekeping gambar muka hadapan akhbar tersebut yang memaparkan bendera Malaysia tanpa lambang bulan sabit, diletakkan bersebelahan bendera negara China.

Ustaz Rosli memetik maksud dan tafsiran rasmi terhadap lambang serta warna pada bendera Malaysia sebagaimana tercatat dalam penerbitan rasmi ‘Bendera Kita Jalur Gemilang’ halaman 8 dan 9.

Katanya, setiap lambang dan warna dalam bendera itu mempunyai makna tertentu, termasuk warna biru tua yang melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, dan warna kuning pada bulan sabit dan bintang 14 bucu membawa maksud kedaulatan Raja Berperlembagaan.

“Serta mendukung dan menghormati lunas-lunas Perlembagaan dan falsafah Rukun Negara. Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung turut menegur akhbar tersebut kerana menerbitkan gambar Jalur Gemilang tanpa lambang anak bulan pada muka hadapan akhbar itu.

Menurutnya, imej bendera Malaysia yang tidak lengkap itu turut diletakkan bersebelahan dengan bendera China, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sensitiviti pihak editorial akhbar terbabit terhadap simbol rasmi negara.

“Akhbar berbahasa Cina Malaysia Sin Chew Daily di halaman utama surat khabarnya meletakkan gambar Jalur Gemilang yang cacat tanpa anak bulan bersama dengan bendera China,” persoal beliau dalam media sosial miliknya.

Firdaus turut mempersoalkan sikap pihak akhbar terbabit kerana hanya memperbetulkan kesilapan itu di portal dalam talian mereka, tanpa membuat pembetulan atau penjelasan dalam versi cetak yang memaparkan kesalahan asal.

“As usual, mereka meminta maaf dan meletakkan Jalur Gemilang yang lengkap di portal walaupun kesalahan itu berlaku di surat khabar,” katanya.

Beliau turut menyindir pihak yang mungkin menganggap tegurannya sebagai keterlaluan, hanya kerana menyentuh isu yang melibatkan lambang rasmi negara.

“Jangan sensitif sangat. Nanti ada kata kita ni terlalu sensitif. Hal kecil nak diperbesarkan pula,” sinis pendakwah yang berfokus kepada golongan mualaf itu.

Dalam kenyataan sama, Firdaus turut menarik perhatian terhadap cara pemberitaan pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang hanya diletakkan pada bahagian bawah penjuru kanan halaman utama akhbar berkenaan.

“Berita tentang PM Ke-5 Pak Lah meninggal dunia pula hanyalah di penjuru bawah sebelah kanan?” soalnya yang dipercayai bermaksud mempertikai akhbar itu kerana meremehkan berita besar negara. – HARAKAHDAILY 16/4/2025


Ulasan