‘MB Selangor disaran rehat, buat video TikTok’



‘MB Selangor disaran rehat, buat video TikTok’
April 5, 2025


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat menyarankan Menteri Besar Selangor supaya bertenang dan menerima teguran secara terbuka berhubung insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, terutama berkaitan penemuan jentera pengorek yang dikatakan tertimbus di lokasi kejadian.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Dato’ Seri Haji Amirudin Shari melabel pihak tertentu sebagai ‘parti Islam tapi fitnah’ tidak membantu menyelesaikan isu berbangkit, malah memburukkan keadaan.

“Menteri Besar Selangor perlu bertenang, sabar dan tarik nafas panjang-panjang. Label ‘parti Islam tapi fitnah’ ini tidak selesaikan masalah.

“Isunya ialah pada awalnya, Menteri Besar nafikan ada excavator (jentera pengorek), tapi kemudian disahkan bahawa excavator itu ada tapi tertanam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, lebih baik jika Menteri Besar Selangor mengambil pendekatan berlapang dada dan memberi perhatian kepada kenyataan saksi dalam kalangan penduduk sejak awal lagi.

“Benar, mata Menteri Besar Selangor bukan ada sensor (penderia atau pengesan) untuk lihat jentera yang tertimbus itu, tapi alangkah baik jika daripada awal lagi menerima dengan penuh terbuka dakwaan sebahagian penduduk yang menjadi saksi bahawa wujud jentera itu sehingga ke saat akhir menjelang hari raya,” katanya.

Ahmad Fadhli turut mencadangkan agar Menteri Besar Selangor mengambil cuti bagi meredakan keadaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memberikan maklumat rasmi kepada rakyat.

“Dengan respon MB Selangor ini, saya rasa lebih baik beliau bercuti. Ambil tempoh bertenang, buat video Tiktok.

“Serahkan kepada pihak polis dan jabatan berkaitan sahaja untuk membuat kenyataan berikutnya. Kalau ini respon Menteri Besar, rakyat lebih hormat kenyataan penjawat awam.

“Salam hormat kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2025

Ulasan