

Berita
MIPP mahu hantar lencana Jalur Gemilang pada Fadhlina, kepimpinan KPM
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Apr 24, 2025 9:10 PM
Dikemaskini: 9:10 PM
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan menghantar lencana Jalur Gemilang kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam berkata ia bagi memastikan kesilapan berhubung ilustrasi Jalur Gemilang melibatkan kementerian itu tidak akan berulang pada masa akan datang.
"Selepas apa yang berlaku hari ini, saya nampak warga KPM lebih memerlukan lencana Jalur Gemilang berbanding pelajar sekolah.
"Buat masa ini, warga KPM lebih memerlukan lencana Jalur Gemilang. Ini kerana setahu saya, pelajar sekolah tidak pernah membuat kesilapan melukis Jalur Gemilang.
“Tapi, di KPM masih ada masalah reka Jalur Gemilang. Maka, kami sedia mengedarkan lencana Jalur Gemilang kepada warga KPM secara percuma," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian susulan kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang - yang dipercayai dijana dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) - dalam pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Subramaniam berkata pihaknya akan menyerahkan lencana berkenaan pada Rabu minggu depan selepas mesyuarat jemaah menteri di pejabat KPM, Putrajaya.
Hari ini, KPM mengeluarkan permohonan maaf selepas Laporan Analisis SPM didapati mengandungi imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap atau salah.
Susulan itu, KPM turut mengarahkan laporan analisis yang dicetak dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan.
“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas dan serta merta telah diambil ke atas semua yang terlibat. Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan,” kata kementerian itu.
Ia adalah insiden ketiga melibatkan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang pada bulan ini yang mencuri tumpuan.

Pada 15 April, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak mempunyai bulan sabit di muka depannya.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menegaskan pihak pengurusan dan editorial akhbar itu mesti lebih berhati-hati dan meneliti bahan sebelum diterbitkan.
Syarikat akhbar itu memohon maaf, menyatakan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Sin Chew juga telah menggantung dua editornya berhubung perkara itu.
Pada 18 April, beberapa aktivis hak Melayu menggesa memecat kedua-dua editor itu. Beberapa laporan polis juga dibuat terhadap syarikat itu.

Pada 19 April lalu, penganjur dan sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana video yang dimainkan semasa acara tersebut memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Bendera dalam video itu dilaporkan juga tidak mempunyai bulan sabit.
Sementara itu, Subramaniam berkata dia percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan gantung tugas Fadhlina sehingga siasatan KPM tamat.
"Saya bukan dari kalangan media. Tapi, saya percaya dalam kes Sin Chew editor mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
"Adakah Anwar berani membuat demikian. Saya tak percaya," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan