
Panduan elak terjebak scam kewangan
GAMBAR HIASAN
Oleh SABRINA ZULKIFLI
14 April 2025, 7:30 am
KEPERCAYAAN terhadap tawaran pelaburan atau peluang kewangan yang tidak masuk akal sering kali menjadi punca utama orang ramai terjebak dalam scam kewangan.
Penipuan seperti ini berlaku secara meluas, terutamanya melalui e-mel, mesej teks, atau platform media sosial dengan tawaran yang sukar ditolak dan menjanjikan keuntungan luar biasa.
Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan untuk membantu anda mengelakkan daripada terjebak dengan scam kewangan, dan memastikan anda membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan selamat.
Jangan percaya tawaran untung luar biasa
Jika tawaran pelaburan menjanjikan keuntungan yang terlalu tinggi dalam tempoh yang singkat, berhati-hati! Biasanya ini adalah tanda pertama bahawa ia mungkin satu penipuan.
Skim pelaburan yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan selalunya berakhir dengan kerugian.
Jangan biarkan tawaran menjanjikan ‘pulangan cepat dan besar’ mempengaruhi keputusan kewangan anda.
Semak latar belakang syarikat
Sebelum membuat sebarang pelaburan, pastikan syarikat tersebut berdaftar dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia (BNM).
Anda boleh semak secara dalam talian untuk memastikan kesahihan syarikat tersebut dan pastikan ia mempunyai lesen yang sah.
Jika syarikat tersebut tidak mempunyai lesen yang sah atau tidak dapat dibuktikan kredibilitinya, elakkan daripada melabur.
Jangan berikan maklumat peribadi
Elakkan memberikan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, akaun bank atau kata laluan kepada individu atau syarikat yang tidak dikenali.
Pihak scammer sering kali cuba mendapatkan maklumat sensitif melalui pelbagai cara, termasuk menyamar sebagai wakil dari bank atau syarikat pelaburan yang sah.
Rujuk pelaburan dengan penasihat kewangan bertauliah
Jika anda merasa ragu-ragu tentang sebarang tawaran pelaburan atau peluang kewangan, dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah.
Penasihat kewangan yang berdaftar akan memberi pandangan yang lebih objektif dan berpengetahuan untuk membantu anda membuat keputusan yang lebih selamat dan bijak.
Jangan biarkan ketidaktentuan atau ketamakan mempengaruhi keputusan kewangan anda.
Jangan terburu-buru
Satu daripada taktik scammer adalah mendesak anda untuk membuat keputusan cepat.
Mereka akan cuba mempercepatkan proses dengan mengatakan tawaran ini akan tamat dalam masa yang terdekat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda mengambil masa yang secukupnya untuk menilai semua maklumat yang ada.
Keputusan kewangan yang tergesa-gesa boleh menyebabkan anda terperangkap dalam scam yang tidak diingini.
Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan kewangan dan sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan individu atau syarikat yang tidak dikenali.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan