PAS NEGERI SEMBILAN BUKTIKAN KESEPADUAN MELALUI KEJAYAAN ANJUR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PERINGKAT PUSAT












PAS NEGERI SEMBILAN BUKTIKAN KESEPADUAN MELALUI KEJAYAAN ANJUR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PERINGKAT PUSAT

PAS Negeri Sembilan telah mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat buat kali pertama, sekaligus membuktikan kemampuan dan kesepaduan jentera parti di peringkat negeri. Mereka telah diberikan satu tugas yang besar bagi menjayakan program di peringkat kebangsaan apabila PAS Pusat memilih Negeri Sembilan sebagai Tuan Rumah kepada Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS yang baru sahaja melabuhkan tirai pada 27 April yang lalu.

Acara yang berlangsung di The Grand Lukut, Port Dickson ini merupakan program kedua terbesar dalam kalender tahunan PAS selepas Muktamar Tahunan PAS. Kejayaan ini menjadi titik tolak penting dalam mengangkat peranan PAS Negeri Sembilan ke peringkat lebih tinggi.

Tahun lalu, PAS negeri Perlis juga telah diberi tangungjawab selaku Tuan Rumah untuk pertama kalinya dan ia menjadi kayu ukur kepada kemampuan PAS negeri tersebut jika diberikan kepercayaan untuk menjadi Tuan Rumah Muktamar Tahunan PAS pada masa akan datang.

Seperti mana yang disebut oleh Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS di dalam ucapan alu-aluannya, amalan gotong-royong ataupun ta’awun adalah merupakan konsep kerjasama yang diamalkan oleh PAS dalam menjayakan program besar PAS. Konsep yang sama juga telah dibuktikan dengan kejayaan PAS Negeri Sembilan menghimpunkan ahli-ahli PAS yang berada di lapan Parlimen untuk turun membantu bagi menjayakan program yang sangat memberikan kesan positif kepada perkembangan PAS di Negeri Sembilan. Beliau yang juga bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Rumah Terbuka ini mengucapkan tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan yang telah berjaya menggalas tanggungjawab yang telah diberikan.

Sebagai contohnya, gotong-royong menyediakan makanan, bermula dari menghiris bawang, melapah daging dan memasak ketupat juga dilaksanakan dengan cara gotong-royong tanpa menggunakan mana-mana khidmat katering atau tukang masak berbayar. Bukan itu sahaja, malah 20 ekor Kambing Golek juga adalah merupakan sumbangan daripada pimpinan, PAS kawasan dan NGO.

Komitmen yang ditunjukkan oleh Dewan-Dewan PAS di peringkat negeri dan PAS kawasan-kawasan adalah amat membanggakan, semuanya menjalankan peranannya dengan baik. Sebagai contohnya, hiasan dalam dewan adalah sentuhan tradisi tempatan yang diceriakan oleh Dewan Muslimat PAS disamping memperagakan ciri-ciri tradisional Minangkabau yang cukup terserlah daripada hiasan serta pakaian.

Kejayaan menguruskan dan menjayakan Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Pusat ini turut menjadi kayu ukur penting ke arah potensi PAS Negeri Sembilan untuk memperkukuh kedudukan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang. Dengan kekuatan dan dokongan bersama Perikatan Nasional, tidak mustahil PAS Negeri Sembilan akan menggandakan kedudukan di DUN Negeri dan seterusnya membentuk kerajaan pada masa hadapan, insya Allah.

Tahniah PAS Negeri Sembilan!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap
Timbalan Pengerusi 2, Jawatankuasa Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Pusat 2025

Ulasan