
Pasukan SMART di Myanmar pulang ke tanah air Isnin ini
Oleh BERNAMA - April 5, 2025 @ 10:31pm
Mohamad tiba di Myanmar, hari ini, bagi melaksanakan misi kemanusiaan. - FOTO BERNAMA
NAY PYI TAW: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang membantu mangsa gempa bumi kuat di Myanmar, akan menamatkan operasi dan pulang ke tanah air pada Isnin ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh SMART telah tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup terperangkap bawah runtuhan bencana alam itu.
"SMART menjumpai seorang saja masih hidup dan yang lain semuanya sudah meninggal dunia," katanya kepada Bernama sebelum mengakhiri lawatan rasmi untuk misi kemanusiaan ke Myanmar, hari ini.
Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawat dari Thailand, Maris Sangiampongsa.
Mohamad berkata, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, serta Menteri Luar, U Than Shwe, telah menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan SMART melaksanakan operasi SAR berkenaan, selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.
Katanya, perkara itu dizahirkan pada sesi pertemuan beliau dengan Aung Hlaing dan Than Shwe, di sini.
Beliau berkata, SMART telah dihantar ke Sagaing, iaitu kawasan paling teruk terjejas, kerana pasukan berkenaan memiliki kelengkapan SAR yang mencukupi.
"Malah, saya dimaklumkan bahawa penduduk di sana sangat menghormati dan menyanjung tinggi SMART sehingga mereka meminta pasukan kita jangan kembali ke Malaysia lagi," katanya.
Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 50 pegawai dan anggota SMART serta pasukan bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar bagi operasi SAR pada 30 Mac lalu.
Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa, termasuk seorang masih hidup, dari bawah runtuhan akibat gempa bumi di Daerah Sagaing sejak Isnin lalu.
Ulasan
Catat Ulasan