PEMANASAN GLOBAL KINI TAHAP KRITIKAL: DUNIA DI AMBANG KRISIS IKLIM
Firman Allah SWT,
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat).”
(Surah ar-Rum ayat41)
Pemanasan global merupakan isu alam sekitar yang paling mendesak abad ini dan telah memberi kesan langsung terhadap kestabilan iklim dunia. Ia bukan lagi satu andaian masa depan tetapi ianya adalah satu realiti yang semakin meruncing. Fenomena ini merujuk kepada peningkatan suhu purata bumi akibat pelepasan gas rumah hijau yang berlebihan ke atmosfera. Antara gas utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄), klorofluorokarbon (CFC), karbon monoksida (CO), dan nitrus oksida (N₂O). Gas-gas ini memerangkap haba dari matahari menyebabkan suhu bumi terus meningkat.
Peningkatan suhu ini berpunca daripada dua kategori utama: aktiviti manusia dan faktor semula jadi. Aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil dalam industri, kenderaan, pembalakan serta amalan pertanian secara intensif telah menyumbang kepada pelepasan karbon yang tidak terkawal. Di samping itu, faktor semula jadi seperti letusan gunung berapi juga menyumbang kepada perubahan iklim, walaupun dalam skala yang lebih kecil.
Kesan Pemanasan Global; Iklim Tidak Lagi Stabil
Salah satu kesan paling ketara daripada pemanasan global ialah perubahan corak iklim yang drastik. Malaysia misalnya, kini sering dilanda hujan lebat luar jangka, banjir besar, kemarau panjang dan ribut ekstrem. Suhu bumi secara global telah meningkat sebanyak 1.43°C berbanding tahap pra-industri – suatu lonjakan yang membawa kesan besar terhadap kesihatan manusia, khususnya strok haba dan masalah pernafasan.
Kelembapan udara yang tinggi turut memperburuk keadaan. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu sebenar sekitar 34°C boleh terasa seperti 41°C apabila diambil kira dengan indeks haba. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam, malah menjejaskan produktiviti tenaga kerja dan meningkatkan permintaan tenaga elektrik.
Dalam konteks tempatan, Malaysia telah mengalami bencana besar yang berkaitan dengan iklim. Banjir besar di Johor pada Mac 2023 menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit dan menjejaskan lebih 70,000 penduduk. Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022 pula mengorbankan 31 nyawa. Kedua-dua peristiwa ini memperlihatkan betapa gentingnya situasi apabila pembangunan tidak mengambil kira kelestarian alam. Penurunan hujan menjadi tidak menentu, banjir boleh berlaku pada waktu yang tidak dijangkakan seperti yang sedang kita alami ketika ini.
Pakar Iklim Suarakan Kebimbangan
Menurut Profesor Dr. Fredolin Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pemanasan global mula menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun 2001. Kini, paras karbon dioksida mencecah 400 ppm, satu angka yang tidak pernah direkodkan dalam sejarah bumi. Menurut beliau lagi, peningkatan kepekatan CO2 akan memerangkap haba dalam sistem iklim bumi dan sejak tiga dekad lalu laporan Panel Antarabangsa mengenai Perubahan Iklim (IPCC) juga mendapati sistem iklim bumi berada tidak seimbang, iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan. Ini menunjukkan betapa seriusnya situasi yang kita hadapi.
Sementara itu, Profesor Emeritus Dr. Ibrahim Komoo, pakar geosains dari UKM, menegaskan bahawa perubahan iklim kini berada pada tahap kritikal. Pencairan glasier, paras laut semakin meningkat dan cuaca ekstrem juga petanda kesan perubahan iklim sudah sampai tahap tidak boleh dikawal. Masyarakat masih belum memahami dan menghayati betapa seriusnya fenomena perubahan iklim. Oleh itu pendidikan awam yang lebih berkesan perlu dipertingkatkan. Beliau menyeru agar dasar dan polisi berkaitan perubahan iklim diarusperdanakan dalam pembangunan negara. Tanpa kesungguhan kerajaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus berdepan bencana yang lebih dahsyat.
Profesor Madya Dr. Norazian Mohamed Noor, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) menekankan impak peningkatan indeks haba cuaca panas dan kadar kelembapan yang tinggi ketika ini berlaku kesan daripada pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia dan isu ini memang sepatutnya dipandang serius kerana ia akan memberikan kesan ke atas kesihatan dan pertanian. Suhu dan kelembapan tinggi bukan sahaja membahayakan nyawa, tetapi juga mengganggu hasil tanaman yang menyebabkan kerugian kepada petani serta menaikkan kos makanan.
Dr Norazian memberikan contoh; bagi tempoh dari tahun 1991 hingga 2020, laporan iklim tempatan menunjukkan bilangan hari panas melebihi 33 darjah Celsius meningkat sebanyak 20 peratus manakala kelembapan pula kekal tinggi. Keadaan itu jika berterusan dan kadar panasnya semakin meningkat, ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan seperti strok haba. Beliau berkata ketika gelombang panas pada Mac 2024 lalu, Johor Baharu melaporkan suhu 34 darjah Celsius tetapi dengan kelembapan mencecah 85 peratus, tapi indeks panas terasa seperti 41 darjah Celsius iaitu satu keadaan berbahaya untuk kesihatan manusia.
Tahu Tapi Tidak Bertindak
Walaupun kajian menunjukkan lebih 97% rakyat Malaysia menyedari akan kewujudan perubahan iklim, kebanyakan daripada mereka tidak tahu langkah yang boleh diambil secara individu atau komuniti. Lebih membimbangkan, banyak pihak berkuasa dan industri masih bersikap tidak peduli. Sungai terus dicemari, hutan ditebang secara rakus dan pelepasan karbon dari kilang sukar dikawal akibat kelemahan penguatkuasaan.
Realitinya, perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar. Ia merupakan isu keselamatan, kesihatan, ekonomi dan keadilan sosial. Tanpa tindakan segera dan menyeluruh, generasi masa depan akan mewarisi dunia yang semakin sukar didiami.
Langkah Kehadapan
Kita masih mempunyai ruang untuk bertindak. Antara langkah mitigasi dan adaptasi yang boleh diambil termasuklah:
- Mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan beralih kepada pengangkutan awam atau mobiliti hijau.
- Menggalakkan amalan kitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
- Menghentikan pembalakan haram dan memperluas kawasan hijau di bandar.
- Menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.
- Membangunkan bangunan mesra iklim dengan sistem ventilasi semula jadi.
- Mendidik masyarakat tentang gaya hidup rendah karbon dan impak peribadi terhadap alam sekitar.
Kesimpulan: Kita Tidak Lagi Ada Pilihan
Data daripada World Meteorological Organization menunjukkan bahawa purata suhu global telah meningkat sebanyak 0.26°C dalam tempoh 10 tahun (2014–2023), kadar yang terpantas pernah direkodkan. Ini seiring dengan peningkatan pelepasan karbon yang kini berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Walaupun pelbagai rundingan iklim global seperti COP28 sedang berlangsung, pelaksanaannya masih lambat dan dipertikai.
Masa untuk bertindak ialah sekarang! Kita tidak lagi boleh bersikap tunggu dan lihat. Pemanasan global berada di tahap kritikal dan tindakan kolektif adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan bumi daripada terus merana.
Wahai para Pembaca! Sedarilah bahawa faktor suhu di Cameron Highlands pada masa kini sudah semakin kurang sejuk kerana turut berkait rapat dengan isu pemanasan global.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
30 April 2025
Ulasan
Catat Ulasan