
Perancangan masuk rumah baharu tertangguh ekoran banjir kilat
11 April 2025 01:09pm
Masa membaca: 2 minit
Kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto Ihsan penduduk kampung.
SUBANG JAYA – Hasrat seorang mangsa kebakaran untuk berpindah ke rumah sewa baharu terpaksa ditangguhkan susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Kuala Sungai Baru di sini, awal pagi Jumaat.
Mangsa, Harib Abu Bakar, 54, berkata, perancangannya untuk berpindah ke sebuah rumah inap desa tergendala selepas kawasan tersebut dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Menurutnya, rumah itu disewa sebagai tempat tinggal sementara selepas rumahnya yang didiami sejak 13 tahun lalu di Kampung Kuala Sungai Baru musnah akibat kebakaran paip gas pada 1 April lalu.

Kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto Penduduk kampung.
“Saya sekeluarga tidak dapat masuk ke rumah sewa baharu akibat banjir kilat yang berlaku hari ini. Kami dimaklumkan air naik sehingga ke paras pinggang.
“Sepatutnya kami berpindah masuk selepas solat Jumaat, namun terpaksa ditangguh buat sementara waktu sehingga proses pembersihan selesai,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Harib berkata, tuan rumah telah memulakan kerja-kerja pembersihan kediaman sejak jam 8 pagi tadi.
Ekoran situasi itu, dia bersama keluarga masih berlindung di pusat penempatan sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
“Saya sangat berharap agar PPS yang kami diami sekarang dapat dilanjutkan untuk terus menempatkan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
“Pilihan yang kami ada sekarang hanyalah PPS ini, sementara rumah sewa baharu masih dalam proses pembersihan. Jika PPS ditutup, kami amat mengharapkan ada penempatan baharu atau rumah sementara yang boleh diduduki,” ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan