Perkukuh muafakat, negara perlu anjakan paradigma berpolitik
April 27, 2025
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
PORT DICKSON: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara memerlukan suatu anjakan paradigma kesedaran dan kemantapan dalam berpolitik.
Ini, menurutnya dengan menggerakkan kekuatan yang ada bukan hanya dalam kalangan ahli parti, tetapi juga dengan rakan-rakan komponen yang perlu dieratkan hubungan silaturahim.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa politik gabungan menjadi kuasa penentu dalam menghadapi pilihan raya akan datang, di mana tidak lagi menjadi dominasi satu-satu kelompok.
“Kita perlu menggerakkan kekuatan yang ada bukan hanya di kalangan ahli parti. Bahkan rakan-rakan komponen yang perlu dieratkan hubungan silaturahim. Perkukuhkan muafakat politik,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian semasa merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Pusat di Dewan The Grand, Lukut di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang juga mengingatkan bahawa negara sedang bergerak ke satu bentuk politik baru di mana politik gabungan menjadi kuasa penentu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutbya, perubahan itu mula dirasai semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, yang menyaksikan berlakunya anjakan dalam konteks tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada PAS Negeri Sembilan dan rakan-rakan Perikatan Nasional Negeri Sembilan atas kejayaan mereka menganjurkan rumah terbuka PAS Pusat.
“Sebenarnya Negeri Sembilan sedang bergerak ke arah lebih mantap lagi. Kita doakan kejayaan besar dalam pilihan raya. Kalau pun tidak boleh tawan sembilan negeri, sekurang-kurang lapan daripada sembilan insya-Allah sebab Negeri Sembilan ni ada sembilan negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu.
Beliau juga menyeru agar sambutan rumah terbuka itu digunakan untuk mengeratkan silaturahim, saling memaafi, dan memperkukuhkan ukhuwah di kalangan ahli politik.
“Dalam berpolitik kadang-kadang kita ada waktu-waktu kenyataan kita yang mungkin menyinggung rakan-rakan dalam konteks rakan-rakan politik sama ada dalaman ataupun luaran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan