Pertelingkahan negeri, Pusat rugikan Persekutuan Malaysia


Pertelingkahan negeri, Pusat rugikan Persekutuan Malaysia
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
28 April 2025, 7:15 am

Kerajaan Indonesia menolak permohonan Malaysia untuk beras dengan menteri pertanian negara itu Andi Amran Sulaiman menjelaskan bahawa keputusan tidak mengeksport bijirin bagi mengekalkan simpanan atau rezab tempatan, menurut laporan Jakarta Post.

Amran dilaporkan berkata Malaysia telah meminta mengimport beras dari negara keempat paling ramai penduduk itu kerana kekurangan bekalan.

Permintaan itu dikatakan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika melawat negara itu minggu lalu.

Jakarta bukan mengatakan tidak sebaliknya mahu mengekalkan simpanan domestik dan akan menilai keadaan iklim sama ada ia akan memberi kesan kepada pengeluaran. Negara itu mengekalkan simpanan 3.3 juta tan dan mahu meningkatkan kepada empat juta tan menjelang bulan depan.

Dalam lima bulan tahun ini, Indonesia dijangka mengeluarkan hampir 35 juta tan padi. Apa yang menarik Amran mengatakan pengeluaran beras di Malaysia hanya mampu menampung antara 40 hingga 50 peratus keperluan negara. Mohamad Sabu dilaporkan berkata tiada permintaan rasmi mengimport beras dari Indonesia tetapi Malaysia sedia berbincang.

Menteri Pertanian Indonesia itu juga dilaporkan berkata Menteri Pertanian Jepun akan melawat Indonesia minggu ini untuk membincangkan mengenai bekalan beras. Ini berikutan harga beras di Jepun sudah meningkat kepada lebih AS$5.52 setiap kilogram. Itu bersamaan dengan RM24 satu kilogram.

Di Malaysia, beras tempatan dijual pada harga RM26 satu pek 10 ki­logram. Jika ada yang pandai dan tahu menyeludup, dia mampu mendapat keuntungan kira-kira RM200 untuk setiap 10kg beras jika dijual di Jepun. Tetapi untuk melakukannya, adakah beras tempatan layak memasuki pasaran Jepun.

Persoalan kedua, itu peluang ekonomi yang disia-siakan Malaysia kerana negara tidak mempunyai lebihan beras. Jika Malaysia ada lebih beras, ia mampu meraih pulangan puluhan juta menerusi eksport beras ke negara seperti Jepun.

Daripada mengenali potensi pasaran, meningkatkan pengeluaran dan meninggikan pendapatan petani, pusat dan negeri bertelagah mengenai bayaran bagi mengekalkan kawasan padi.

Kerajaan Kedah mahukan RM200 juta manakala pusat menya­takan kesediaan membayar RM41 juta. Putrajaya me­negaskan bahawa ia sudah melabur RM1 bilion untuk pembangunan meningkatkan pengeluaran padi.

Sumber kerajaan menyatakan jumlah keseluruhan adalah RM5 bilion bagi memajukan jelapang padi di utara Semenanjung. Kedah pula mendakwa tanah digunakan sebagai bendang jika dimajukan untuk tujuan lain bernilai berbilion ringgit dan wajar negeri itu diberikan bayaran kerana kehilangan pendapatan.

Ramai lupa semua hospital, sekolah, balai, jalan raya, dan kemudahan awam lain dibiayai pusat selama ini. Adakah setiap negeri mampu membina semua kemudahan dan menggaji kakitangan sekolah, hospital, polis dan lain-lain dengan sendiri?

Perdebatan akan berterusan kerana haluan politik berbeza antara pusat dan negeri. Sejak pilihan raya lalu, perpecahan semakin buruk berdasarkan politik, agama dan kaum. Kini ia menjadi pertelingkahan dan semangat kenegerian berikutan kuasa tertentu sesetengah wilayah dalam menentukan bentuk kerajaan di Putrajaya.

Ketika negeri-negeri bertelingkah, menegakkan hak mereka dan membelakangkan asas Persekutuan Malaysia, kita terus ke belakang dan terlepas peluang menjual beras pada harga RM260 untuk 10 kilogram di Jepun. Dan Malaysia akan dikenali sebagai negara yang berpotensi tetapi gagal to get your act right. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Ulasan