Polis tahan ibu pukul anak di kedai dobi


Polis tahan ibu pukul anak di kedai dobi
Oleh Rosli Ilham - April 22, 2025 @ 7:58am
CHUKAI: Polis menahan seorang wanita yang memukul anak perempuannya berusia sembilan tahun di sebuah kedai dobi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima laporan pada 20 April, jam 7.27 malam.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 16 April, jam 3 petang.

"Kita menerima laporan satu video kejadian pukul yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita memarahi dan memukul anak perempuannya itu.

"Wanita berusia 45 tahun memarahi dan memukul anaknya kerana bimbangkan keselamatan anaknya yang berlari-lari di depan kedai dobi terbabit yang boleh menyebabkan kecederaan sekiranya dilanggar kenderaan," katanya.

Mohd Razi berkata, berikutan itu, polis kemudiannya menahan wanita terbabit pada 21 April dan ditahan reman sehingga 22 April.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Mangsa kini berada di bawah jagaan bapanya dan pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Ulasan