
PRK Ayer Kuning: BN tak buat ceramah besar-besaran
12 April 2025 12:10pm
Masa membaca: 2 minit
Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan ucapan sebelum berarak ke Pusat Penamaan Calon PRK Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu. Foto Bernama
TAPAH - Barisan Nasional (BN) akan mengambil pendekatan untuk tidak mengadakan ceramah besar-besaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera kempen akan menyantuni seramai mungkin pengundi di kawasan DUN berkenaan.
Jelas beliau, kesiapsiagaan jentera yang diketuai Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah bergerak beberapa hari lalu diyakini mampu membantu memberikan kemenangan kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir.
"Kita mengharapkan komposisi pengundi-pengundi dari pelbagai kaum di Tapah khususnya di Ayer Kuning ini akan memberikan sokongan dan dokongan kepada calon.
"Kami tidak berhajat untuk mengadakan ceramah secara besar-besaran sebaliknya kami memberikan lebih tumpuan menyantuni pengundi-pengundi di sekitar Ayer Kuning ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas proses Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu.
Ditanya mengenai isu yang akan dimainkan calon lawan, Ahmad Zahid menjangkakan isu di peringkat nasional akan menjadi bahan kempen pihak lawan untuk menarik sokongan pengundi.
Beliau yakin jenteranya sudah bersedia untuk menghadapi isu-isu yang bakal dimainkan oleh pembangkang nanti.
Ulasan
Catat Ulasan