
PRK Ayer Kuning: Calon mahu kempen secara sihat, fokus usaha bangunkan rakyat
12 April 2025 11:58am
Masa membaca: 2 minit
Mohamad Yusri (kiri) bersama Bawani dan Abdul Muhaimin (kanan) selepas proses penamaan calon PRK Ayer Kuning yang berlangsung di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu. Foto Bernama
TAPAH - Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi jaminan kempen dijalankan secara sihat dengan memberi fokus kepada pembangunan rakyat.
Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, pihaknya mahu meneruskan segala usaha dan perancangan diperlukan rakyat yang telah digerakkan wakil rakyat sebelum ini.
Menurutnya, isu pendidikan antara yang akan diberikan fokus utama selari dengan usaha kerajaan membangunkan masyarakat yang berpelajaran.
"Gerak kerja telah disusun dan kita akan bekerja keras bagi memastikan komitmen kita ini berjaya," katanya.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN selaku parti penyandang dicabar calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu berdepan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.
Sementara itu, Abd Muhaimin berkata, demi menghidupkan proses demokrasi di kawasan itu, pihaknya mahu baik pihak pembangkang mahupun kerajaan menjalankan kempen dengan cara berhemah.
"Saya mengharapkan kempen yang baik, datang dari hati, kempen mesra rakyat dan penuh rasa mahabbah, kerana kita mahu menghidupkan demokrasi.
"Kalah dan menang itu perkara kemudian, paling penting kita nak menjalankan kempen baik-baik di peringkat parti kerajaan dan pembangkang," katanya.
Dalam tempoh kempen yang berlangsung selama 14 hari ini, pihaknya menyasarkan mendekati setiap pengundi setiap kawasan bermula dari Temoh hingga ke Bidor.
"Kita berusaha pergi seluruh rumah-rumah pengundi dalam tempoh ini dengan sedaya upaya, kita keluarkan duit tabung dan akan menyantuni seluruh penghuni DUN Air Kuning," katanya.
Dalam pada itu, Bawani berkata, PSM akan terus mengetengahkan isu-isu rakyat pada siri pilihan raya kali ini selari dengan prinsip parti berkenaan.
Katanya, selain menyantuni penduduk di kawasan, PSM akan menggunakan sepenuhnya pendekatan media sosial sebagai platform mendekati dan menyampaikan mesej kepada rakyat.
"Dalam tempoh dua minggu kempen ini kita akan lihat penduduk Ayer Kuning mahukan pembangunan yang seimbang dan sekata. Kemudahan dan fasiliti yang perlu dinaik taraf.
"Saya berharap Ayer Kuning memilih PSM pada PRK kali ini," ujar Peguam itu.
Ulasan
Catat Ulasan