
27 April 2025 06:04pm
Masa membaca: 2 minit
PORT DICKSON - Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad secara sinis mempersoalkan 18,000 undi yang disasarkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau berkata, BN sepatutnya memperolehsekurang-kurangnya 15,000 undi iaitu tambahan kepada undi parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
"Secara umumnya, sepatutnya BN dapat tambahan undi, keputusan masa PRU15 dengan undi PH, lebih kurang 15,000 undi.
"Menteri Besar kata dia salam 18,000 orang, sepatutnya dapat dalam 15,000 undi tapi semalam dapat 11,065 undi saja. Hampir 5,000 lagi dia tak dapat,"katanya ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Lukut di sini pada Ahad.
Selain itu, beliau turut mendakwa berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan pada pilihan raya terbabit, bukan saja dari BN tetapi juga PH.
Tambahnya, selama ini PH yang membangkitkan isu terbabit tetapi sekarang mereka pula melakukannya.
"Kita malas nak cakap soal penyalahgunaan jentera kerajaan, termasuklah kawan-kawan kita dari PH yang waktu kita 'berguling-guling' di tengah jalan memperjuangkan soal demokrasi dan bersih, sekarang mereka buat sama.
"Kalau BN tak guna (jentera kerajaan), itu luar biasa dan itu berita. Sebab itu pada saya kita tak nak buat laporan, buang masa tapi rakyat boleh menilai," katanya.
Pada PRU15, Allahyarham Ishsam Shahruddin dari BN menang dalam pertembungan lima penjuru dengan memperoleh 9,088 undi.
Calon PH, Mohd Nazri Hashim memperoleh 6,875 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Noor Farid Zainal (6,812 undi); calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (586 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Maziah Salim (105 undi).
Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir meraih 11,065 undi.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek yang memperolehi 6,059 undi dan calon PSM, Bawani KS yang menerima 1,106 undi.
Ulasan
Catat Ulasan