PRK DUN Ayer Kuning: Apa yang mahu diuji?
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
9 April 2025, 7:15 am
LUPAKAN seketika soal penyatuan Melayu yang ditimbulkan sebelum ini oleh pemimpin pembangkang dan kerajaan. Hinggakan ada yang meminta agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 September ini tidak menyaksikan pertembungan antara kedua-dua blok itu.
Mana mungkin orang Melayu bersatu jika bertembung dalam pilihan raya itu, kata mereka. Namun idea tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan apabila kelmarin Barisan Nasional (BN) telah melancarkan jentera pilihan rayanya beserta dengan pengumuman calon daripada UMNO untuk mewakili parti itu.
Bagi mempertahankan kerusinya itu, BN meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dengan pengalaman politik di peringkat bahagian dan rekod akademik yang baik, Ustaz Yusri difikirkan calon terbaik untuk parti itu. Malah BN juga menyasarkan lebih 18,000 undi akan berpihak kepada calon parti itu berdasarkan rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang menyaksikan calon BN dan Pakatan Harapan (PH) keseluruhannya memperoleh lebih 15,000 undi.
Keputusan PRK itu juga sebenarnya ujian kepada Kerajaan Perpaduan dan gerak kerja BN dan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) ketika pembangkang mendakwa sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan semakin merosot kerana penolakan pengundi Melayu terhadap DAP.
Mohamad Yusri, 54, merupakan pendidik yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1992 sebelum memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Perikatan Nasional (PN) juga telah mengumumkan calonnya daripada Pas malam tadi.
Kira-kira 31,000 pengundi DUN Ayer Kuning akan mengundi semula bagi memilih wakil rakyat yang baharu ekoran kematian Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lalu. Terdapat 31,481 pengundi di kawasan itu dengan Melayu 56,80 peratus, Cina 21.12 peratus, Inida 14,43 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.
Keputusannya tidak akan mengubah pucuk pimpinan negeri. Ia lebih kepada mencari pengganti Ishsam, pemimpin UMNO yang diterima baik oleh pengundi tempatan.
Namun setiap pilihan raya ada maknanya sendiri kepada setiap parti yang bertanding. Sudah tentu tekanannya lebih kepada BN dalam mempertahankan kerusi itu dan sebagai manifestasi sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.
PN pula mengharapkan PRK itu berpihak kepada mereka dengan bersandarkan pelbagai isu kebelakangan ini dan kemenangan amat bermakna bagi mereka dalam melangkah PRU-16.
Apa pun keputusan 26 April ini, yang menang dan yang kalah wajar melihat semula sokongan rakyat kepada mereka dan apa yang perlu diperbaiki. – UTUSAN
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan