

Berita
'Pu**mak Hindu’ – Guru lapor polis terhadap penghantar makanan
Diterbitkan: Apr 23, 2025 4:45 PMSeorang guru sekolah mendakwa dirinya terkejut dan terganggu selepas menerima mesej berbaur penghinaan daripada seorang penghantar makanan melalui ciri sembang dalaman aplikasi penghantaran.
Mesej itu berbunyi: “Oii sampai. Tak mau ambik makanan jangan order pu**mak Hindu.”
Malaysiakini telah menapis perkataan kesat tersebut mengikut garis panduan editorial.
Bercakap kepada Malaysiakini, M Amutha, 27 berkata dia menerima mesej tersebut pada jam 4.40 petang Ahad lalu, selepas menghantar pesanan mesej kepada penghantar berkenaan untuk bertanya mengenai status tempahannya.

“Saya terima notifikasi awal yang menyatakan rider sudah sampai ke restoran.
“Apabila saya tidak menerima pesanan saya pada masa yang dijangkakan, saya hantar mesej kepada rider,” katanya.
Tangkapan layar perbualan itu menunjukkan Amutha bertanya, “Sudah mai ke?”, dan penghantar tersebut membalas, “Ni ada bawah.”
Guru dari Machang Bubok itu berkata dia sedang dalam perjalanan ke tingkat bawah pangsapuri ketika mesej berbaur penghinaan itu diterima.
Amutha kemudiannya menghubungi talian khidmat pelanggan syarikat penghantaran berkenaan dan dinasihatkan supaya membuat laporan polis.
Dia turut dimaklumkan penghantar makanan terbabit mungkin seorang “scammer” (penipu) kerana pihak syarikat tidak dapat mengesan butiran individu berkenaan dalam sistem mereka.
Malaysiakini tidak menamakan syarikat berkenaan sementara menunggu maklum balas rasmi daripada mereka.
Amutha kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama di balai polis Machang Bubok.
Dia turut menyertakan nama penghantar wanita itu, nombor telefon dan nombor pendaftaran motosikal — maklumat yang diperoleh daripada aplikasi penghantaran berkenaan.
Setakat ini, Amutha belum menerima sebarang maklum balas lanjut daripada pihak polis mahupun syarikat berkenaan.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Helmi Aris untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Ulasan
Catat Ulasan