
April 6, 2025
KOTA BHARU: Semua pihak yang berkaitan dengan punca kebakaran saluran paip gas di Putra Heights perlu membuat perkiraan secara adil terhadap semua mangsa, khususnya dalam menilai kerugian dialami.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim berkata, pihak bertanggungjawab tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
Beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya demi keadilan kepada mangsa.
“Kita amat bersimpati pada mangsa-mangsa yang terkesan akibat punca kebakaran saluran paip gas di Putra Heights,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Peringkat DUN Tanjong Mas di Kompleks Masjid Redhauddin, di sini semalam.
Beliau menegaskan, pihak pemaju perlu mematuhi segala undang-undang telah ditetapkan, lebih-lebih lagi apabila projek melibatkan saluran paip berskala besar yang membawa risiko tinggi kepada keselamatan awam.
“Projek paip yang dilaksanakan ini bukanlah kecil-kecilan, tentu ada spesifikasi menunjukkan kawasan yang boleh dimajukan dan kawasan tidak dibenarkan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas itu lagi.
Menurut beliau, projek seperti ini memerlukan tahap keselamatan yang tinggi kerana ia melibatkan nyawa dan harta benda masyarakat sekitar.
“Apabila rakyat menjadi mangsa, walaupun tiada kematian, kerugian akibat kehilangan harta telah menyebabkan trauma mendalam kepada mereka,” ujarnya.
Rohani menyeru agar semua pihak berkaitan membuat perkiraan yang adil terhadap semua mangsa, khususnya dalam menilai punca kejadian yang dilihat berlaku akibat kecuaian.
“Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu memberi kerjasama penuh kepada siasatan,” tegasnya lagi.
Beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kerana kejadian berlaku adalah ketentuan Allah yang tidak dapat dielakkan.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa tragedi kebakaran besar yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lalu. – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan