
Rakyat sering tanya bila kerajaan ini akan bertukar?
Kemarahan rakyat memuncak
April 9, 2025
TAPAH: Kemarahan rakyat sudah mencapai kemuncak sehingga mereka meletakkan perasaan kebencian begitu besar kepada kerajaan yang ada pada hari ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, ia susulan terdapat banyak persoalan yang dibangkitkan rakyat berkenaan pertukaran pentadbiran di peringkat Persekutuan.
“Kita berjumpa dengan semua orang. Kadang-kadang dekat petrol pump, dekat dengan stesen LRT. Bila tanya kita, dia kata ‘bila kerajaan ini nak bertukar’?
“Yang bertanya itu kita tak tahu siapakah mereka ini. Ini soalan yang kita sukar untuk memberikan jawapannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road, di sini, lewat malam tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Selain Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dalam pada itu mengecam sikap kerajaan yang mendakwa pihak pembangkang sekadar ‘membangkang’ semua perkara dilakukan kerajaan.
“Hari ini mereka (kerajaan) kata pembangkang asyik membangkang semua benda yang kerajaan buat. Saya nak ulang sekali lagi, memang kami tugas pembangkang. Mana ada pembangkang di dunia yang menyokong kerajaan.
“Kalau ada pembangkang sokong kerajaan, itu orang panggil pembangkang ‘kepala masuk air’. Kami memang pembangkang, tapi pembangkang yang konstruktif.
“Ada benda yang kami boleh sokong, kita sokong. Yang tak boleh kita sokong, kita lawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan