Salah bendera: Maszlee saran pegawai tinggi KPM letak jawatan




Berita
Salah bendera: Maszlee saran pegawai tinggi KPM letak jawatan

Diterbitkan: Apr 25, 2025 11:04 AM
Dikemaskini: 11:04 AM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan ke atas kesilapan bendera Malaysia dalam pembentangan Laporan Analisis Keputusan SPM 2024 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Maszlee menyifatkan kesilapan itu sebagai “memalukan” dan mencerminkan kegagalan sistemik yang lebih dalam.

Dia berkata kesilapan dalam penerbitan rasmi seperti itu menunjukkan kecuaian dan tiadanya disiplin dalam kalangan mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan bahan pendidikan awam.

“Timbul persoalan bagaimanakah sebuah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh melakukan kesilapan dan kesalahan terhadap bendera negara?

“Lebih malang, ia dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang diamanahkan untuk mendidik rakyat sekalian.

“Jawapannya mudah, kerana kelalaian, kecuaian dan sikap tidak cermat dan tidak berdisiplin dalam menjalankan amanah,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.



Ketika dia menjadi menteri pendidikan, kata Maszlee, prosedur ketat dikenakan melibatkan pemeriksaan dan kelulusan beberapa peringkat sebelum sebarang dokumen dikeluarkan.

Katanya lagi, jika prosedur sama tetap dilakukan dalam kes ini, maka mesti ada yang memikul tanggungjawab atas “kesalahan dan kecuaian yang memalukan negara ini”.

“Demi negara dan demi menjaga imej tata kelola Madani yang dibawa oleh perdana menteri, ketua pengarah pendidikan, timbalan yang berkaitan dan juga pengarah Lembaga Peperiksaan perlulah bertanggungjawab dan mengundurkan diri secara ‘gentleman’.

“Melepaskan jawatan bukanlah sesuatu yang mengaibkan jika ia didasari prinsip dan maruah bangsa dan negara,” katanya lagi.

Menurut Maszlee, pegawai di pelbagai peringkat sepatutnya telah menyemak dan meluluskan dokumen tersebut sebelum sampai ke meja menteri, justeru sukar untuk diterima apabila kesilapan besar seperti itu tidak dikesan.

Namun, Maszlee yang juga ketua PKR Simpang Renggam tidak menggesa agar Fadhlina Sidek meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan.

Gambar yang dijana kecerdasan buatan (AI) yang dipaparkan pada Laporan Analisis Keputusan SPM 2024 itu menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.

Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.

Semalam, Anwar melalui setiausaha akhbar kanannya Tunku Nashrul Abaidah menegaskan bahawa AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti manusia, terutama dalam kandungan melibatkan simbol negara atau sensitiviti awam.

Ulasan