Sambut baik komitmen polis, mahu siasatan profesional, telus


Sambut baik komitmen polis, mahu siasatan profesional, telus
April 6, 2025


KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan kenyataan media Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berhubung insiden letupan gas dan kebakaran besar yang menggemparkan negara di Putra Heights, Puchong, pada 1 April lalu.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun banyak persoalan berkaitan insiden malang itu masih belum terjawab, kenyataan awal daripada pihak polis adalah langkah tepat dalam usaha menyediakan maklumat sah secara rasmi.

Setiausaha Agung PAS itu menegaskan, ia mampu meredakan rasa panik dan kebimbangan orang ramai, sekali gus menghalang penyebaran maklumat tidak sahih, pramatang atau khabar angin oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dalam konteks bencana besar seperti yang berlaku ini, integriti, ketelusan, kesegeraan dan kejelasan maklumat daripada sumber sah adalah sangat penting bagi menghindari suasana tidak tenteram awam yang berpotensi mencetuskan masalah-masalah lain pula.

“Simpang-siur, percanggahan, ketidakjelasan malah salah maklumat terutama daripada pihak berkuasa sendiri seperti yang berlaku sebelum ini haruslah dielakkan, malah dihentikan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, PN menyambut baik komitmen pasukan polis selaku komponen utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bertanggungjawab melengkapkan laporan awal kejadian dalam tempoh dua minggu, manakala laporan lengkap dijangka siap dua minggu selepas itu.

Katanya, PN turut mengambil maklum bahawa siasatan sedang dijalankan merangkumi dua aspek iaitu teknikal diketuai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), serta aspek jenayah melibatkan isu khianat, kecuaian dan kesalahan lain yang dikendalikan oleh pihak polis.

“Siasatan yang profesional, telus, menyeluruh, adil dan berintegriti akan menjadi kayu ukur kepada komitmen kita pada kebenaran, kedaulatan undang-undang serta standard moral yang tinggi.

“Sebarang usaha untuk melindungi mana-mana pihak atau menyembunyikan apa-apa maklumat, keterangan dan salah laku bukan sahaja tidak boleh diterima, malah bercanggah sama sekali dengan tujuan siasatan itu sendiri,” katanya.

Menurut Takiyuddin, siasatan itu juga perlu dijadikan asas kepada penambahbaikan menyeluruh terhadap semua protokol, proses, sistem, infrastruktur, amalan serta perundangan berkaitan industri dan perbekalan gas di seluruh negara.

Katanya, ia penting bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, dan keselamatan rakyat, khususnya mereka yang tinggal berhampiran jajaran paip gas, sentiasa terpelihara dalam apa jua keadaan.

Dalam masa sama jelasnya, PN menyambut baik usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri, agensi, NGO serta individu yang membantu dan membela nasib mangsa.

“Dalam suasana bencana seperti ini, mangsa bukan sahaja telah kehilangan harta benda, kesihatan diri atau kesejahteraan hidup, tetapi turut berdepan dengan trauma serta kebimbangan hebat berkait masa depan masing-masing.

“Dalam keadaan itu, adalah penting untuk mereka mengetahui dan melihat bahawa nasib dan masa depan itu terjamin dengan sokongan semua pihak dan seluruh rakyat.

“‘Sebagai satu tubuh tunggal, kesakitan yang dirasai oleh mana-mana bahagiannya seharusnya turut dirasai dan dibela oleh bahagian dan anggota yang lain’, bak kata pepatah ‘berat mata memandang berat lagi bahu memikul’,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan negeri menyediakan petempatan sementara kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal, sambil berharap langkah itu dikembangkan kepada bentuk bantuan lain termasuk ganti rugi dan pemulihan menyeluruh kehidupan mangsa.

“Pujian dan ribuan terima kasih juga harus dirakamkan buat semua petugas terutama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, kesihatan, polis, sukarelawan dan sebagainya yang telah bertarung nyawa menyelamatkan keadaan pada hari kejadian dan hari-hari berikutnya sebagai teras barisan depan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara yang tidak pernah menghampakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2025

Ulasan