Sidang DUN Perak: Kenapa ADN Umno hanya membisu?



Sidang DUN Perak: Kenapa ADN Umno hanya membisu?
April 22, 2025

IPOH: Persidangan Dewan Negeri Perak menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terus memainkan peranan semak dan imbang, biarpun berdepan tekanan politik dan tindakan keras terhadap Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.

Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) daripada PN tampil lantang membangkitkan pelbagai isu kepentingan rakyat dan tadbir urus kerajaan negeri, termasuk beberapa isu kegagalan dan tidak ditangani dengan sepatutnya.

Antaranya isu kandang atau penternakan babi secara haram, walaupun premis tersebut telah lama beroperasi, kerajaan negeri masih gagal mengambil tindakan konkrit, menyebabkan keresahan penduduk setempat terus berlarutan.

Kontroversi memuncak apabila Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang juga ADN Gunung Semanggol telah digantung selama enam bulan daripada menghadiri Persidangan DUN.

Penggantungan itu dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, namun melalui undian yang tidak sepakat di mana tiga wakil pembangkang dalam jawatankuasa menolak usul tersebut.

“Tindakan ini membuktikan kerajaan negeri tidak bersedia menerima teguran membina dan kritikan terbuka. Kami akan terus menyuarakan suara rakyat walaupun cuba disenyapkan,” ulas Razman.

Beliau bagaimanapun mengikuti perkembangan persidangan secara atas talian selain memanfaatkan tempoh penggantungan ini turun padang dan mendekati rakyat, khususnya menggerakkan jentera PN di DUN Ayer Kuning.

ADN Kubu Gajah, Ustaz Mohd Khalil Yahya ketika diminta ulasannya menyatakan, hampir semua perbahasan pembangkang disambut celahan daripada ADN DAP, manakala ADN Umno terus berdiam diri.

“Isu babi di Ayer Kuning, isu perpaduan, isu penyalahgunaan agensi kerajaan oleh BN di PRK Ayer Kuning; semuanya dibangkitkan oleh pembangkang. Namun Umno membisu seribu bahasa, membuktikan dominasi DAP dalam dewan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menegaskan, meskipun diasak dengan tekanan politik, blok PN tetap konsisten membela rakyat dan memperjuangkan urus tadbir yang telus dan adil.

ADN PN dalam peringatan mereka kepada pihak kerajaan turut menggesa agar institusi Dewan dihormati, bukan dijadikan alat menekan suara lawan.

Sidang DUN kali ini jelas menampakkan keberanian wakil-wakil rakyat pembangkang dalam memperjuangkan suara rakyat walaupun cuba disekat melalui keputusan yang tidak adil. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Ulasan