Sokong bos isu baju posmen koyak: Warga maya 'hentam' kesatuan


Berita
Sokong bos isu baju posmen koyak: Warga maya 'hentam' kesatuan

Diterbitkan: Apr 22, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 4:29 PM

Tiga kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan beruniform Pos Malaysia menjadi sasaran kecaman warga maya selepas mereka dilihat berpihak kepada pihak pengurusan dalam isu kebajikan pekerja.

Ini susulan kenyataan bersama yang dikeluarkan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia (Upus), Upus Sarawak dan Kesatuan Pekerja Seragam Pos Malaysia Sabah (KEPPSES) hari ini yang mempertahankan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer — susulan kritikannya terhadap pertanyaan seorang kakitangan mengenai baju seragam terkoyak.

Menurut kenyataan itu, kesatuan telah mendapatkan penjelasan daripada Brewer dan percaya dia tidak berniat menghina mana-mana pekerja menerusi kenyataannya.

“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut dan Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan kerana boleh menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau.
Tangkap layar komen media sosial.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat serta berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan dan kakitangan, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.

“Beliau juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan pihak Kesatuan yang sentiasa harmoni serta terbuka tanpa sebarang pertingkaian. Justeru itu, pihak Kesatuan berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden UPUS HJ Ismail Ali, Presiden Upus Sarawak HJ Rasdi Ahmad Mohamad dan Presiden KEPPSES Henry Petrus.

Kenyataan itu, yang turut dikongsi di akaun rasmi Facebook dan X Pos Malaysia sekitar jam 10 pagi tadi, bagaimanapun tidak diterima baik oleh sebahagian besar pengguna media sosial.

Ramai mempersoalkan pendirian kesatuan yang dilihat sepatutnya membela nasib pekerja yang menjadi mangsa, bukan mempertahankan majikan.
Gambar hiasan.

Seorang pengguna X menulis: “Kesatuan pekerja sepatutnya bela kebajikan pekerja, tapi sekarang terjadi sebaliknya. Kesatuan pekerja jaga CEO yang terang-terangan menghina hak pekerja. Pecat Charles Brewer."

Seorang lagi pengguna media sosial menyoal fungsi kesatuan terbabit:

"Sebelum ni kesatuan semua ni buat apa? Kutip yuran ahli bulan-bulan lepas tu 'dok' lena?

"Konon ada sampai tiga kesatuan berkaitan pakaian seragam, tapi uniform posmen koyak pun haram tak ambil tahu, kalau staf tu tak viral sampai kiamat tak ambil tindakan."
Gambar hiasan.

Di Facebook, seorang pengguna berkongsi pengalaman ayahnya sebagai ahli kesatuan: "Arwah abah saya dulu orang kuat union tempat dia bekerja. Dia terkenal sebagai seorang yang sangat lantang mempertahankan ahli-ahli union.

"Dia pernah beritahu saya, union ni tujuannya mengambil peduli hak kebajikan dan perjuangkan isu-isu pekerja.

"Tapi yang ni sebaliknya pulak. Ke zaman sekarang union dah hilang taring? Tanya je lah," katanya.

Skrin tangkap dan permohonan maaf

Kontroversi bermula minggu lalu selepas tangkap layar perbualan dalaman Pos Malaysia tersebar, menunjukkan seorang pekerja penghantaran memuat naik gambar bajunya yang koyak di bahu kanan dan bertanya bila seragam baru akan diberikan.

Brewer dilaporkan membalas dengan mengingatkan pekerja itu supaya bersyukur kerana bekerja dengan syarikat penghantaran yang menyediakan pakaian seragam.

Kenyataan itu dikecam ramai, memaksa Brewer mengemukakan permohonan maaf kepada kakitangan terlibat.

Gambar hiasan.

Menerusi kenyataan sama, ketiga-tiga kesatuan pekerja mengesahkan pihak syarikat telah memaklumkan kepada mereka bahawa pakaian seragam baru akan dibekalkan kepada semua kakitangan.

Bagaimanapun, terdapat kelewatan tahun ini kerana proses penambahbaikan dari segi material dan kualiti untuk memastikan keselesaan pengguna.

Sebagai langkah interim, jersi Pos Malaysia sedang diedarkan kepada anggota kesatuan manakala proses pembekalan penuh dijalankan bersama antara kesatuan dan pengurusan.

Pihak syarikat juga, kata kenyataan itu, telah memberi komitmen untuk menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan.

“Pihak Kesatuan merakamkan penghargaan kepada pihak syarikat kerana terdapat penambahbaikan dan komitmen berterusan demi menjaga keselamatan kakitangan serta kesediaan untuk membekalkan jumlah baju yang melebihi daripada peruntukan dalam Perjanjian Bersama, satu langkah yang jelas menunjukkan keprihatinan dan sokongan berterusan kepada kakitangan barisan hadapan.”

Ulasan