SPM bukan satu-satunya penentu kejayaan


SPM bukan satu-satunya penentu kejayaan
LEPASAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 perlu mempunyai perancangan bagi membolehkan kejayaan dicapai pada masa akan datang.
Oleh Zafir Khan Mohamed Makhbul
29 April 2025, 7:50 am

TIADA jalan singkat untuk mencapai kejayaan. Seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia tidak datang bergolek.

Pastinya kejayaan yang dicapai selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, membuka lembaran baharu dalam kehidupan.

Yang berjaya dan cemerlang sudah tentu gembira dan tersenyum manis, mungkin sambil berswafoto dengan plakad tertera 8A, 9A, 10A, 11A dan seumpamanya. Gelak tawa dan air mata kegembiraan mengiringi kejayaan cemerlang pelajar.

Perasaan gembira ini tidak cukup disampaikan secara lisan malahan ditambah pula dengan tempelan slip keputusan SPM yang cemerlang di media sosial. Bukanlah kesalahan meraikan kejayaan SPM, tetapi ia bukan penamat kepada perjuangan. Banyak lagi cabaran bakal menanti selepas SPM.

Siapa yang tidak gembira dengan kejayaan cemerlang ini selepas berhempas pulas selama dua tahun. Malangnya, ketika sambutan dan keraian berlangsung, yang kurang cemerlang pula tersenyum pahit dan bermuram durja.

Begitulah adat dunia, sewaktu suatu pihak bergembira, pasti ada yang berduka lara. Episod manis, pahit, suka dan duka ini adalah rencah kehidupan yang ada kalanya menyentuh jiwa dan sukar dilupakan.

Begitulah juga halnya apa yang dirasai oleh 402,918 orang calon berdaftar peperiksaan SPM 2024.

Mungkin ada dalam kalangan mereka ini terhenti perjalanan akademiknya kerana berputus asa dan bersedih dengan keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan. Usaha mereka terhenti separuh jalan dek perasaan kecewa dan putus asa. Seolah-olah keputusan tidak seberapa yang diperoleh adalah penamat kepada perjalanan mereka untuk mengecap kejayaan di masa hadapan.

Sikap sebegini seharusnya dibuang jauh kerana pencapaian dalam pendidikan menengah bukanlah penentu segala-galanya. Tidak dinafikan apabila seseorang menemui kegagalan, pelbagai perasaan negatif timbul dan individu itu akan berasa tertekan.

Tekanan sebegini seharusnya dikekang dan diselesaikan secepat mungkin. Mengambil jalan singkat seperti berputus asa, melakukan aktiviti tidak sihat dan membunuh diri adalah langkah yang salah sama sekali dan ia akan membawa diri terjerumus ke lembah kegagalan yang makin dalam.

Jika perasaan negatif mula menghantui diri, pelajar perlu mendapatkan pertolongan daripada ibu bapa, guru dan pihak ketiga.

Realiti menunjukkan SPM bukan penentu segala-galanya. Walaupun pelajar cemerlang SPM berjaya menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) idaman, ada dalam kalangan mereka gagal mengekalkan kecemerlangan tersebut dek tersilap langkah.

Antara punca kegagalan adalah kesalahan memilih program pengajian, terikut-ikut dengan pilihan kawan-kawan serta terpaksa memilih program pengajian berdasarkan kehendak ibu bapa. Selain itu, pengaruh persekitaran pembelajaran di IPT juga menjadi punca kegagalan.

Pengaruh gajet juga tidak boleh dikesampingkan yang mana ia turut mengganggu pelajar meneruskan kecemerlangan. Kesibukan pelajar IPT melayan pelbagai aplikasi media sosial kadangkala mengatasi kesibukan dalam pengajian di IPT. Jika hal ini berlaku, gajet yang asalnya hadiah atas kecemerlangan SPM daripada ibu dan bapa bertukar menjadi perangkap yang akan membawa kegagalan.

Terdapat juga pelajar yang gagal mencapai keputusan peperiksaan seperti yang diharapkan, tetapi cemerlang di IPT dan seterusnya dalam kerjaya masing-masing.

Seperti kata, ‘kejayaan bermula selepas seseorang menemui kegagalan’. Saat rakan-rakan sepersekolahan sibuk dengan kuliah di pusat asasi atau matrikulasi, mereka mungkin hanya mampu mengikuti program kemahiran atau sijil sahaja. Pendek kata, mereka terpaksa bertatih melalui jalan panjang dan berliku sebelum menuju ke puncak. Peluang melanjutkan pelajaran digunakan sepenuhnya agar pengalaman pahit masa lalu tidak berulang.

Sebenarnya, keputusan peperiksaan yang diperoleh mungkin tidaklah seteruk mana tetapi ia tersasar daripada harapan tinggi yang ditetapkan pelajar.

Nasihat saya, belajar mensyukuri apa yang dicapai kerana ia mampu meminimumkan tekanan, rasa sedih dan kecewa kerana gagal mencapai keputusan SPM yang diharapkan.

Di samping berusaha memohon untuk mengikuti program pengajian yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan, jangan lupa berdoa dan bertawakal agar lebih bersedia mendepani cabaran dan menghadapi kenyataan.

Ingatlah semua kejadian telah ditentukan oleh Tuhan, tetapi usaha, doa dan tawakal boleh mengubah perjalanan takdir tersebut. Jika kita berusaha namun kejayaan belum kunjung tiba, terimalah ia dengan hati terbuka. Pasti ada rahmat di sebalik semua itu tetapi masih belum disedari.

BERUBAH

Untuk keluar dari kepompong kegagalan, ia menuntut perubahan diri pelajar sendiri. Jika kita berpegang kepada bidalan genggam bara api biar sampai jadi arang, kesemua impian mungkin boleh dicapai dengan syarat ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif.

Hampir tiada satu perkara dalam hidup ini yang mustahil dicapai, namun ia menuntut usaha berterusan tanpa rasa putus asa.

Fikiran positif perlu dijadikan kunci utama bagi melangkah ke hadapan selepas SPM. Tanpa fikiran positif, individu akan sentiasa berdepan dengan masalah yang menyekat pembangunan diri. Fikiran positif bakal melahirkan aura diri yang lebih berkeyakinan dan mengupayakan kita melihat peluang dan ruang penambahbaikan.

Mempunyai perancangan yang rapi perlu dibuat bagi membolehkan kejayaan dicapai mimpi. Walaupun begitu, mimpi dan angan-angan tanpa sebarang usaha umpama angan-angan Mat Jenin.

Selain itu, usaha yang sedikit pasti menghasilkan kejayaan ala kadar sahaja. Sebagaimana kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga perlulah luar biasa dan lain daripada yang lain.

Kesemua impian tidak mustahil dicapai jika ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif.

Walaupun tahun-tahun mendatang bakal memperlihatkan pelbagai cabaran persekitaran buat remaja lepasan SPM, anda tidak harus membiarkan persekitaran itu mengawal kehidupan. Jadilah seseorang yang berupaya mengawal persekitaran dan menentukan hala tuju kehidupan masing-masing.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ulasan