SPM segalanya atau sekadar sekeping kertas?
Oleh Abdul Hadi Bin Ab Manap
26 April 2025, 7:15 am
SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) lazimnya dianggap sebagai penanda aras utama dalam sistem pendidikan menengah di Malaysia.
Zaman-berzaman, SPM dipercayai menjadi penentu hala tuju akademik dan kerjaya pelajar, sama ada meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan.
Seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A iaitu A+, A- dalam SPM 2024 yang diumumkan, kelmarin.
Keputusan itu mencatatkan peningkatan 2,466 calon berbanding 11,713 calon pada 2023, sekali gus dikatakan pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun.
Dalam pada itu, seramai 355,933 calon pula layak diberikan sijil SPM 2024 berbanding 349,297 calon pada 2023 iaitu meningkat sebanyak 6,636 calon.
Peningkatan itu dikatakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada 2013 diperkenalkan, yang mana calon wajib lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak diberikan sijil SPM.
Angka 14,179 memperoleh semua A yang disifatkan sebagai terbaik sejak 2013 itu selepas ini pastinya akan bersaing untuk menduduki tempat terbaik termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, seterusnya ke alam pekerjaan.
Persaingan yang terlalu kompleks dengan calon-calon yang mempunyai kecemerlangan atas kertas hampir sama, menyebabkan setiap individu memerlukan ‘sesuatu’ nilai agar mereka dipandang berbeza daripada orang lain.
Dalam era globalisasi dan ekonomi digital, wujud keperluan untuk menilai semula sejauh mana kesahihan tanggapan bahawa SPM merupakan segala-galanya.
Apa pun tanggapan terhadap SPM sama ada ‘segala-galanya’ atau sekadar ‘sekeping kertas’, kejayaan pastinya akan berpihak kepada mereka yang berusaha dan peka mengenal pasti peluang.
Gred A yang diperoleh hari ini tidak boleh dijadikan keterjaminan masa depan seseorang, begitu juga buat mereka yang gagal atau sekadar ‘cukup-cukup makan’.
Selain itu, sistem pendidikan moden harus semakin menekankan aspek holistik seperti kemahiran insaniah, kebolehan menyelesaikan masalah, komunikasi berkesan serta literasi digital.
Majikan juga dilaporkan lebih cenderung memilih calon yang mempunyai kemahiran praktikal dan pengalaman kerja berbanding pencapaian akademik semata-mata.
Pada masa ini, sistem pendidikan harus mengiktiraf pelbagai bentuk kecerdasan dan potensi pelajar.
‘Kepandaian’ seseorang tidak boleh terus diputuskan kepada satu bentuk penilaian seperti SPM untuk menentukan nilai seseorang pelajar. Pendidikan seharusnya membuka ruang untuk pelbagai jenis kebolehan dan minat.
Kewujudan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta inisiatif pembelajaran sepanjang hayat telah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang tidak cemerlang dalam SPM untuk terus maju dalam kerjaya.
Kesimpulannya, walaupun SPM masih memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan Malaysia, ia bukanlah satu-satunya laluan menuju kejayaan.
Pendekatan yang lebih inklusif dan fleksibel perlu digalakkan bagi memastikan setiap individu diberi peluang untuk berkembang mengikut potensi dan minat masing-masing. – UTUSAN
Hadi Ab. Manap ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan