

Berita
Subsidi RON95: Kerajaan perlu hayati cogan kata Najib
Diterbitkan: Apr 17, 2025 9:00 AMWAWANCARA | Amanah Wilayah Persekutuan mencadangkan agar kerajaan Madani menghayati cogan kata yang pernah diangkat kerajaan pentadbiran Najib Razak dalam usaha memperkenalkan rasionalisasi petrol RON95 – yang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.
Pengerusinya Khalid Samad berkata pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menambah baik kaedah libat urus inisiatif itu dengan pelbagai lapisan rakyat.
Kata Khalid, ketika ini semua pihak mengetahui dan memahami bahawa subsidi itu tidak wajar dimanfaatkan oleh golongan kaya-raya atau warga asing.
"Saya ambil maklum bahawa persoalan ini akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini, dan sekarang dah bulan April.
"Semua setuju dengan matlamatnya supaya duit subsidi itu digunakan untuk orang miskin, dan orang yang memerlukan. Tetapi hingga ke hari ini tak ada seorang pun tahu macam mana (kaedah) ia akan dilaksanakan.
"Saya nak cadangkan kerajaan Madani hayati cogan kata kerajaan Najib iaitu 'zaman kerajaan tahu semua perkara telah berakhir', dan ini merupakan satu cogan kata yang baik walaupun tidak dilaksanakan oleh Najib kerana banyak yang dia buat tanpa rakyat tahu khusus kes (seperti) 1MDB," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Shah Alam, Isnin lalu.
Sebelum ini kerajaan memaklumkan mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 sedang diperhalusi yang akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan MyKad.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan tidak mahu membuat sebarang prapengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan dijangka mengumumkannya selepas separuh pertama tahun ini.
Menurutnya, penggunaan MyKad untuk menentukan kelayakan penerima subsidi bersasar boleh berpandukan sistem yang digunakan dalam pemberian Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Mustahil 100 peratus setuju
Pengarah Komunikasi Amanah Nasional itu berkata, cogan kata tersebut selaras dengan falsafah perjuangan kerajaan Madani, justeru sesi libat urus perlu lebih meluas bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat.
“Pertamanya kemukakan cadangan macam mana (penyasaran subsidi) nak dilakukan, biar ada respon sama ada cadangan itu bagus atau tak bagus, perlu diubah atau tidak…yang penting buat libat urus.
“Jangan buat seperti dalam kes rasionalisasi subsidi diesel yang hingga ke hari ini masih ramai pertikai mengapa mereka tak boleh dapat harga diesel yang disubsidi, sedangkan mereka layak kerana bukan di kalangan T20, atau T15,” katanya.
Justeru, tambah Khalid, dia mencadangkan agar kerajaan dapatkan respon daripada individu, persatuan, kumpulan, parti politik, NGO dan lain-lain yang berkaitan agar pada akhirnya pelaksanaan dasar itu nanti mampu memberikan hasil terbaik.
Pada masa sama, kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, semua pihak perlu mengakui bahawa mustahil untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus untuk cadangan berkenaan.

Tetapi sekurang-kurangnya, kata Khalid, kerajaan sudah lakukan libat urus mendapat pelbagai pandangan daripada semua pihak.
Untuk kali ini, katanya, tidak boleh lagi kerajaan mengumumkan pelaksanaan pelan rasionalisasi RON95 seperti cara mereka menamatkan subsidi menyeluruh ke atas diesel.
“Kita akan menghadapi suasana yang lebih sukar kerana semua orang guna RON95 ini berbanding diesel yang lebih kecil segmen masyarakat yang menggunakannya.
“Jadi biar kita tentukan, biar kita akui kita tak tahu semua, dan biar kita cadangkan sesuatu pendekatan, kita dapatkan maklum balas.
“Mungkin orang yang terjejas akan bersuara, dan kalau ada apa-apa yang terlepas pandang kita boleh perbaiki,” kata Khalid.
Ulasan
Catat Ulasan