
‘Tak mustahil PAS N9 ganda kerusi DUN bentuk kerajaan’
PAS Negeri Sembilan buktikan kesepaduan anjur Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat pusat
April 30, 2025
PORT DICKSON: Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan kejayaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat pada 27 April lepas merupakan kayu ukur penting terhadap potensi PAS Negeri Sembilan memperkukuh kedudukan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Dengan kekuatan dan dukungan bersama Perikatan Nasional, tidak mustahil PAS Negeri Sembilan akan menggandakan kedudukan di Dewan Undangan Negeri dan seterusnya membentuk kerajaan pada masa hadapan, insya-Allah. Tahniah PAS Negeri Sembilan!” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata, PAS Negeri Sembilan telah mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat buat kali pertama, sekali gus membuktikan kemampuan dan kesepaduan jentera parti di peringkat negeri.
Beliau juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rumah terbuka itu berkata, PAS Negeri Sembilan telah diberikan tugas besar untuk menjayakan program di peringkat kebangsaan apabila dipilih sebagai tuan rumah kepada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat itu.
Acara berlangsung di The Grand Lukut, Port Dickson ini merupakan program kedua terbesar dalam kalender tahunan PAS selepas Muktamar Tahunan PAS dan kejayaan itu dilihat menjadi titik tolak penting dalam mengangkat peranan PAS Negeri Sembilan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, sebelum ini PAS Perlis turut diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah buat pertama kali, dan ia menjadi kayu ukur kepada kemampuan PAS negeri itu untuk menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS pada masa akan datang.
Katanya, seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ucapan alu-aluan, konsep gotong-royong atau ta’awun adalah asas kerjasama yang diamalkan dalam menjayakan program besar parti.
“Konsep ini turut dibuktikan PAS Negeri Sembilan apabila berjaya menghimpunkan ahli-ahli PAS dari lapan Parlimen untuk bersama-sama menjayakan program ini yang memberi kesan positif kepada perkembangan PAS di negeri ini,” jelasnya.
Khairul Faizi berkata, sebagai contoh, penyediaan makanan termasuk menghiris bawang, melapah daging dan memasak ketupat dilaksanakan secara gotong-royong tanpa menggunakan khidmat katering atau tukang masak berbayar.
“Malah, 20 ekor kambing golek turut disumbangkan oleh pimpinan, PAS kawasan dan NGO. Komitmen ditunjukkan Dewan-Dewan PAS di peringkat negeri dan kawasan amat membanggakan,” terangnya.
Beliau berkata, hiasan dalam dewan yang menampilkan sentuhan tradisi tempatan dilaksanakan oleh Dewan Muslimat PAS, termasuk memperagakan ciri-ciri tradisional Minangkabau menerusi hiasan dan pakaian. – HARAKAHDAILY 30/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan