Tak perlu takut selagi kamu tak sentuh 3R, kata Akmal Saleh



Berita
Tak perlu takut selagi kamu tak sentuh 3R, kata Akmal Saleh

Diterbitkan: Apr 21, 2025 7:08 PM
Dikemaskini: 7:08 PM

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menasihatkan pengundi di Ayer Kuning bahawa tidak ada sebab untuk mereka takut kepadanya.

Ini, katanya, melainkan mereka menyentuh isu 3R iaitu membabitkan hak orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta Raja-raja Melayu.

“Takut ke dengan Dr Akmal ni? Tidak perlu takut dengan saya selagi mana kamu tidak menyentuh agama, bangsa dan Raja-raja yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia, saya pun tidak akan menyentuh kamu.

“Tetapi kamu berani sentuh sahaja walau sedikit, tidak akan kami berganjak seinci sekalipun untuk mempertahankan agama bangsa dan tanah air kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dia yang juga Adun Merlimau mengulas kain rentang Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada pilihan raya kecil Ayer Kuning di Perak.

Kain rentang itu memaparkan Akmal sebagai latar belakang calon PSM Bawani KS, dengan teks dalam bahasa Cina menyatakan undi untuk BN adalah undi untuk Akmal dan menggesa sokongan kepada parti yang tidak bermain politik perkauman.

“Walaupun saya bukan calon di DUN Ayer Kuning tetapi ada juga yang letakkan muka saya di poster bersama dengan calon.


“Dan ditulis di situ dalam bahasa Cina yang terjemahannya ‘undi BN = undi Dr Akmal’.

“Kenapa perlu letak muka saya dan perlu letak tulisan Cina yang membawa maksud sedemikian?” soalnya.

PRK Ayer Kuning pada Sabtu, 26 Apri ini diadakan selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Feb lalu.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ketua Perikatan Nasional Tapah, Abd Muhaimin Malek; Setiausaha Umno Tapah, Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani.

Sebelum ini, ketua Pemuda Umno itu sering lantang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Antara isu kontroversi yang pernah disuarakan termasuk isu stoking yang tertera kalimah Allah, menempelak ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, yang membantah cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran milik bukan Islam serta roti ham dan keju yang tidak mempunyai sijil halal yang dijual di sebuah kedai serbaneka di kampus Universiti Malaya.

“Kepada pengundi Ayer Kuning, jangan risau untuk mengundi BN,kerana kita telah terbukti tidak retorik bab menjaga agama bangsa dan tanah air .

“Siapa sekalipun yang sentuh tidak kira kawan mahupun lawan, kami akan lawan.

“Kempenlah secara sihat ya,” katanya lagi.

DUN Ayer Kuning mempunyai 66,318 pemilih berdaftar. Daripada jumlah itu, 56 peratus adalah Melayu, 22 peratus Cina, 14 peratus India dan 8 peratus Orang Asli.

Ulasan