Tanah di Wilayah Persekutuan bawah kuasa KSN - Shahidan


Berita
Tanah di Wilayah Persekutuan bawah kuasa KSN - Shahidan
Diterbitkan: Apr 23, 2025 2:20 PM

Ahli Parlimen Arau yang juga bekas menteri, Shahidan Kassim, hari ini mendakwa semua tanah di Wilayah Persekutuan berada di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Perdana Menteri.

Menurutnya, urusan pengambilan atau penjualan mana-mana tanah dalam Wilayah Persekutuan dikendalikan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan iaitu sebuah badan yang dipengerusikan oleh KSN.

Katanya kuasa tersebut tidak dipegang oleh seseorang Menteri Wilayah Persekutuan

“Pengambilan atau penjualan tanah dibuat terus (oleh jawatankuasa itu) dan duitnya pergi ke kerajaan persekutuan. Semuanya dipengerusikan oleh KSN.

“Menteri Wilayah hanya terlibat dengan pembangunan setelah tanah itu dimiliki pihak swasta dan (apabila) pembangunan nak dimulakan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dia yang juga bekas Menteri Besar Perlis itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, yang kini menjadi kontroversi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat ada kewajaran bagi pihak yang terlibat dengan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur ketika pentadbiran PN untuk memberi penjelasan.

Menyifatkan pengambilan tanah di situ sebagai isu lama, Tuan Ibrahim berkata penjelasan daripada pihak berkenaan diperlukan bagi merungkai sebarang kekeliruan mengenainya.

Kenyataan itu dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias, mendakwa beberapa bekas menteri dan wakil rakyat terdahulu bersikap menyebelahi pemaju dalam isu berkenaan.

Nama bekas menteri yang dipetik dalam pertemuan penduduk kampung dengan ahli parlimen PN itu ialah Shahidan, Annuar Musa, serta Rina Harun.

Shahidan dan Annuar pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Rina menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli parlimen dari PN.

Shahidan berkata semasa menjadi menteri dulu dia memang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan apabila mengambil tindakan menangguhkan pembangunannya.

“Dalam kes itu saya terlibat secara langsung untuk penangguhkan (pembangunan). Tangguh supaya pampasan dibayar berdasarkan nilai semasa.

“Saya juga melantik (syarikat) Rahim & Co untuk membuat penilaian. Cukuplah (penjelasan) setakat ini, selebihnya biar mahkamah putuskan,” katanya.

Sebelum ini seorang lagi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, menjelaskan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru pada awalnya dibat secara rundingan terus di antara pemilik dan pemaju.

Katanya, PN yang menjadi kerajaan kemudiannya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah berkenaan.

Ulasan