Tarif Trump uji dasar ekonomi negara, daya tahan umat Islam
Oleh Mohd. Ammyrul Ashraf Sairan
14 April 2025, 8:00 am
TARIF merupakan cukai yang dikenakan oleh sesebuah negara terhadap barangan import yang memasuki pasaran sesebuah negara. Tujuan utamanya adalah bagi meningkatkan harga barangan import supaya produk tempatan kelihatan lebih berdaya saing. Di Malaysia, sebagai contoh, tarif dikenakan ke atas kenderaan import seperti Honda, Toyota dan Mercedes, ini menjadikan harga kenderaan import lebih tinggi berbanding kenderaan tempatan seperti Proton dan Perodua. Namun begitu, kesan daripada kenaikan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, telah memberi impak berbeza terhadap perdagangan dunia.
Pemenang Hadiah Nobel, Paul Krugman, mengkritik metodologi tarif ini, dengan menyifatkan sebagai “gila sama sekali”. Hal ini kerana, Trump telah mengumumkan kenaikan tarif terhadap produk dari luar negara, termasuklah Malaysia dengan kadar sekitar 24 peratus. Sungguhpun kadar ini merupakan yang keempat terendah di Asia Tenggara, ini tetap memberi kesan memandangkan produk Malaysia akan menjadi lebih mahal di pasaran AS, sekali gus membolehkan penurunan permintaan terhadap barangan eksport negara.
Dalam menghadapi cabaran ini, Islam mengajar umatnya untuk bersikap positif dan melihat akan ujian sebagai ruang bagi memperbaiki diri. Firman Allah SWT dalam surah At-Tawbah, ayat 51, “Katakanlah: Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditentukan Allah untuk kami; Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakkal”.
Ayat ini mengajar bahawa setiap ujian yang datang adalah ketentuan ilahi, dan di sebalik kesukaran itu pasti ada peluang. Dalam konteks ini, kesan tarif yang diumumkan Trump harus dilihat bukan sekadar halangan, bahkan sebagai peluang bagi Malaysia memperkukuh sektor ekonominya. Tokoh ulama terkemuka, Imam al-Ghazali, dalam karya beliau Ihya’ Ulumuddin, menegaskan tentang kekuatan ekonomi adalah antara tunjang kepada kelangsungan ummah. Beliau turut menegaskan kestabilan ekonomi bakal membawa kepada kestabilan sosial dan keutuhan akhlak masyarakat.
Dalam hal ini, kesan tarif perlu ditangani dengan memperkukuhkan dasar ekonomi dalaman dan memperluaskan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat.
Antara peluang yang muncul daripada situasi ini ialah potensi Malaysia bagi menjadi destinasi pelaburan alternatif. Negara-negara jiran seperti Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand dan Indonesia akan dikenakan tarif yang lebih tinggi, iaitu antara 32 sehingga 49 peratus. Ini akan memberi kesukaran kepada mereka untuk mengeksport barangan ke AS dengan harga yang kompetitif.
Sebagai contoh, jika sebuah produk dari Kemboja berharga AS$100, dikenakan tarif 49 peratus, harga produk akan meningkat menjadi AS$149. Ini memberi kelebihan kepada Malaysia bagi menarik syarikat multinasional dari negara-negara jiran bagi memindahkan operasi mereka ke Malaysia, memandangkan Malaysia hanya dikenakan tarif 24 peratus serta memiliki kos hartanah yang lebih rendah dan tenaga kerja mahir yang mencukupi.
Sungguhpun begitu, Islam tetap menuntut agar sebarang usaha ekonomi yang dijalankan tidak boleh mengabaikan keadilan sosial. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 286, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya”. Hal ini menuntut agar pihak kerajaan dan sektor industri supaya tidak mengabaikan hak pekerja, bagi memastikan gaji yang adil, dan menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan bermaruah. Seandainya Malaysia berjaya dalam menarik lebih banyak pelaburan asing dan membuka ribuan peluang pekerjaan baharu, maka hal ini merupakan suatu bentuk rezeki yang harus disyukuri. Dalam kerangka pemikiran penganalisis ekonomi dari Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI), Profesor Dr. Muhammad Umer Chapra menekankan akan pentingnya prinsip maqasid syariah dalam merangsang dasar ekonomi.
Menurut beliau, setiap dasar ekonomi yang digubal haruslah menepati prinsip utama maqasid syariah iaitu keadilan, ketulusan dan tanggungjawab sosial. Maka, strategi Malaysia dalam menarik pelaburan luar dan memperluaskan peluang pekerjaan sememangnya bertujuan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan yang berterusan. Oleh yang demikian, dalam menangani impak tarif ini, Malaysia harus mengambil pendekatan yang bukan sahaja pragmatik, tetapi berakhlak.
Antaranya memanfaatkan potensi dalam sektor ekonomi digital, teknologi hijau dan kemahiran teknikal menerusi sistem TVET, agar kita mampu membina ekonomi yang lebih berdaya saing, berdikari dan kompetitif secara global.
Tambahan pula, Malaysia tidak boleh bersifat pasif dalam isu ini. Malaysia harus memperbaharui hubungan diplomatik dengan AS secara berstrategi terutama dalam menyelesaikan isu pensijilan halal, sekatan automatif dan peraturan digital secara telus dan profesional. Dalam masa yang sama, membentuk pasaran alternatif, negara-negara di Timur Tengah, Afrika, dan ASEAN, harus diterokai agar negara tidak lagi perlu bergantung kepada satu kuasa ekonomi semata. Seperti pepatah Melayu “berpaut pada dahan yang rapuh, jatuh jua ke tanah”.
Sungguhpun ada cabaran yang harus dihadapi, seperti persaingan antara negara jiran yang turut cuba menarik pelaburan asing, Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan yang ada. Kelebihan ini bukan hanya terletak pada kadar tarif yang rendah, tetapi juga pada kestabilan politik, dasar ekonomi yang mesra perniagaan, dan kedudukan geografi yang strategik. Kesan tarif Trump telah membawa cabaran dan peluang. Dari perspektif ekonomi, Islam mengajar kita untuk melihat setiap cabaran sebagai suatu peluang bagi memperbaiki diri dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, Malaysia perlu menggunakan peluang ini bagi memperkukuh industri domestik dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak di masa depan.
Pada masa yang sama, memastikan bahawa segala usaha dan perancangan yang dijalankan dengan adil dan memberi manfaat kepada masyarakat, selaras dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan akan keadilan dan kesejahteraan sosial. Dengan berpandukan prinsip maqasid syariah dan wawasan ekonomi yang mampan, Malaysia mampu bukan sahaja menghadapi badai ini, tetapi muncul lebih kuat, adil dan berdikari. – UTUSAN
MOHD. Ammyrul Ashraf Sairan ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah di Universiti Utara Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan