Tarik kenyataan pudarkan keyakinan rakyat
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
4 April 2025, 6:40 am
Tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu, bagai mimpi ngeri yang terus mengekori kita. Sekelip mata, lebih 50 rumah musnah dan lebih 300 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Mangsa kejadian kebakaran paip gas yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dilaporkan turut mencatatkan peningkatan setakat pukul 1 petang, semalam dengan 339 mangsa daripada 89 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.
Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi tragedi yang meninggalkan kesan mendalam. Bayangkan bagaimana rasanya melihat segala harta benda yang telah susah payah dikumpul musnah begitu sahaja. Pada sudut lain pelbagai cerita tidak sedap didengari, bertebaran di media sosial, mencipta pelbagai kekeliruan khususnya pada pihak kerajaan.
Benar atau tidak, kita tidak tahu, tetapi seperti pepatah, ‘kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang’. Apabila kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berubah-ubah atau ditarik balik, mulalah terbit rasa ragu-ragu dengan kisah sebalik tragedi api marak yang diibaratkan setinggi bangunan 20 tingkat itu.
Tindakan tarik balik kenyataan umpamanya, menunjukkan seolah-olah ada yang tak kena. Selain merosakkan kepercayaan orang ramai, ia mengundang lebih banyak persoalan daripada jawapan. Rakyat mahukan tindakan yang jelas, tegas, dan telus, bukan sekadar kenyataan yang akhirnya berlalu begitu sahaja.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada mulanya mengeluarkan kenyataan mengenai insiden tersebut, tetapi akhirnya menarik balik kenyataan itu bagi memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.
Petronas juga mengesahkan kejadian letupan paip gas tersebut dan menegaskan bahawa bekalan gas negara tidak terjejas. Datuk Bandar Subang Jaya pula menafikan dakwaan mengenai projek pembangunan yang tidak mempunyai kelulusan berhampiran lokasi kebakaran. Namun, kenyataan-kenyataan yang berubah-ubah ini hanya menambah kecelaruan.
Kita tidak boleh melupakan tragedi-tragedi lain, seperti tragedi pesawat Boeing yang menggemparkan dunia beberapa tahun lalu. Awalnya, syarikat tersebut menafikan masalah teknikal pada pesawat mereka, tetapi selepas siasatan mendalam, kebenaran terbongkar.
Begitu juga dengan kes pencemaran Sungai Kim Kim di Johor, di mana pihak berkuasa pada mulanya menyatakan keadaan terkawal, tetapi akhirnya terpaksa mengakui masalah yang lebih serius setelah keadaan semakin buruk.
Sehingga artikel ini diterbitkan tiada kenyataan terbaru dikeluarkan, termasuk anggaran kerugian, malah siasatan lanjut masih dijalankan. Ada yang kata terlalu awal kalau keluarkan sebarang kenyataan, namun kita berhak tahu apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan keselamatan dan kehidupan manusia.
Usah biarkan rakyat terus hidup dalam ketidakpastian, kerana setiap nyawa yang hilang atau terancam mempunyai nilai yang tidak ternilai.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita, Utusan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan