TCO: Apa dosa Dr Samsuri sampai dilayan begini rupa?
April 13, 2025
ShareKUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat digesa untuk tidak lagi berselindung di sebalik alasan ‘keselamatan negara’ berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk tekanan politik yang tidak beretika dan bersifat zalim.
“Rakyat sudah celik. Kami tahu ini taktik politik murahan untuk menekan musuh politik,” katanya berhubung Perintah Kawalan Perjalanan (TCO) ke atas Menteri Besar Terengganu itu, dalam satu kenyataannya, hari ini.
Menurut Fakhruddin, tindakan memantau dan menyekat pergerakan Samsuri seolah-olah menggambarkan beliau itu sebagai ancaman keselamatan negara, walaupun bukan penjenayah atau pengganas dan tidak terlibat dalam penyelewengan wang rakyat.
“Menteri Besar Terengganu bukan penjenayah, bukan pengganas, bukan penyamun duit rakyat. Tapi dilayan seperti ancaman keselamatan negara, hanya kerana beliau lawan Kerajaan Pusat.
“Dilabel TCO, setiap pergerakan beliau dipantau, disekat ke luar masuk negeri, bahkan ke Sabah dan Sarawak pun perlu kebenaran khas dari ‘cawangan tertentu’. Telefon dipintas, gerak-geri diintip, malah pertemuan beliau dengan sesiapa pun jadi laporan politik.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal hak asasi, kebebasan dan maruah rakyat. Bila pemimpin negeri sendiri boleh diperlakukan begini tanpa bukti kesalahan pun, apa jaminan kita rakyat biasa tidak akan jadi mangsa seterusnya?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik layanan sebegitu oleh pemerintah Persekutuan terhadap seorang Menteri Besar sebuah negeri yang juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman.
“Apa dosa Dr Samsuri sampai dilayan sebegini rupa? Adakah kerana suara beliau makin didengari rakyat? Adakah kerana beliau jadi simbol politik bersih dan matang?
“Adakah kerana ada yang makin takut dengan kebangkitan gelombang rakyat menentang kakistokrasi dan reformati Kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional)?” persoalnya lagi.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Besar Terengganu itu dan menzahirkan solidariti terhadap perjuangan menegakkan demokrasi yang tulen.
“Saya berdiri bersama Dr Samsuri. Saya tentang kezaliman TCO. Saya bantah penyalahgunaan kuasa dan saya percaya suara rakyat tidak boleh dibungkam selama-lamanya.
“Solidariti untuk Dr Samsuri. Solidariti untuk demokrasi Malaysia,” tegasnya. – *HARAKAHDAILY 13/4/2025*
Ulasan
Catat Ulasan