
TCO: Kerajaan patut selesai dan perbetul, bukan berspekulasi
April 13, 2025
KUBANG KERIAN: Kerajaan sewajarnya menyelesaikan isu membabitkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikenakan pemantauan berbanding membuat spekulasi tidak benar.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malah ada pihak dalam kerajaan yang mendakwa isu itu dibuat bagi meraih simpati pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Ayer Kuning, Perak.
“Sebenarnya tiada kena mengena simpati dengan cara macam tu, yang jelasnya kerajaan perlu kena perbetulkan dari segi tu sebab sebagai Menteri Besar nak masuk Sabah pun kena kebenaran polis.
“Bukan masuk sahaja, dia nak keluar pun sama, ada sekatan, kena ‘called’ dahulu, kena buat permohonan sebagaimana orang awam lain, dia Menteri Besar sepatutnya tidak ada begitu,” katanya di sini.
Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden PAS itu mendakwa dilabelkan individu di bawah perintah Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, tindakan tersebut berlaku sejak suku ketiga tahun lalu, 2024 yang menyebabkan Ahli Parlimen Kemaman itu sering ditahan setiap kali keluar dan masuk pintu sempadan negara.
Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulas mengenai isu tersebut sebagai salah satu langkah Samsuri bagi meraih simpati pengundi pada PRK Ayer Kuning akan diadakan pada 26 April depan.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kawalan TCO dikenakan sambil menjelaskan tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk mengenakan tindakan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan