
Tebatan banjir di Kelantan dipercepat - PM
12 April 2025 12:54pm
Masa membaca: 1 minit
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penduduk pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama hari ini. Turut mengiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Foto Bernama
BACHOK - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan projek tebatan banjir di Kelantan akan dipercepatkan pelaksanaannya bagi memastikan nasib rakyat negeri ini terbela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan peruntukan dan penyelarasan teknikal dimuktamadkan dan kerja awal akan bermula tahun ini.
“Tidak ada sebab untuk terus berlengah kerana rakyat sudah terlalu lama berdepan kesusahan akibat banjir berulang.
“Saya arahkan supaya semua kementerian dan agensi terlibat menyegerakan tindakan tanpa sebarang kerenah birokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 yang diadakan di Pantai Irama, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar berkata, langkah awal melibatkan pembinaan benteng sungai, saliran bersepadu dan sistem amaran awal banjir di beberapa daerah berisiko tinggi.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti semula pelan tebatan sedia ada agar lebih menyeluruh dan mengambil kira perubahan iklim serta peningkatan populasi.
“Fokus kita bukan hanya penyelesaian jangka pendek, tetapi membina ketahanan jangka panjang supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa saban tahun,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan