
Terengganu sudah mulakan langkah, ayuh negeri lain
Profesional Istiqamah sokong tindakan Terengganu haramkan vape
April 29, 2025
KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Terengganu mengharamkan penjualan vape disifatkan sebagai contoh mencegah kemungkaran dengan tangan dan satu langkah berani serta ke depan.
Profesional Istiqamah berkata, isu industri vape merupakan persoalan yang panas dan serba salah jika disentuh, terutama apabila ia berkaitan dengan sumber dana pentadbiran sesetengah pihak.
“Untuk para penguasa yang memerlukan sumber dana bagi pentadbiran mereka, apa-apa yang boleh dicukaikan menjadi sesuatu yang perlu diutamakan,” ujar kesatuan itu menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, vape adalah industri baharu yang sedang melonjak pesat, dengan peningkatan nilai RM3.48 bilion pada tahun 2022, iaitu peningkatan 53 peratus daripada RM2.27 bilion pada 2019.
Menurut jawapan Menteri Kewangan pada sidang Parlimen tahun lalu, jumlah keseluruhan kutipan hasil cukai bagi produk rokok elektronik dan vape serta cecair atau gel yang mengandungi nikotin atau tidak bernikotin adalah sebanyak RM183.1 juta bagi tempoh dari 2021 hingga 2024.
Beliau dilaporkan membentangkan, daripada jumlah hampir RM180 juta itu, kutipan hasil cukai bagi produk merokok bernikotin adalah lebih kurang RM100 juta.
Profesional Istiqamah berkata, soal vape bagus atau tidak sama sahaja dengan hukum menghisap rokok, dan kesan serta risiko kesihatan adalah jelas, namun pandangan berbeza bergantung kepada kepentingan masing-masing.
Mereka berkata, tidak perlu diceritakan lagi mengenai mudarat vape sebagai potensi besar menjadi sarang agihan dadah, sebagaimana terbukti dalam tangkapan PDRM yang membongkar kegiatan memproses vape dicampur dengan dadah jenis methamphetamine pada Februari lalu.
Mereka menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah itu berjumlah hampir RM9 juta, dan pihak PDRM mempercayai sindiket berkenaan memasarkan produk itu ke seluruh negara dan luar negara.
Selain itu katanya, tidak perlu disebut lagi bagaimana vape membawa kepada kecederaan paru-paru, dikenali sebagai ‘e-cigarette/vaping product use-associated lung injury’ (E-Vali), yang mencatatkan peningkatan di hospital dalam negara.
Katanya, semua risiko itu dianggap masih terlalu ‘jauh’ dan satu mudarat yang boleh ‘ditanggung’ dengan imbalan bayaran cukai daripada industri tersebut.
“Ada yang menggunakan analogi seperti kedai judi, kedai judi berlesen perlu ada supaya judi haram dapat dikekang. Ini adalah satu konsep pemikiran yang pelik dan penuh falasi,” katanya.
Menurutnya, tindakan Kerajaan Terengganu sepatutnya menjadi contoh kepada kerajaan pusat pimpinan Madani yang dilihat lebih mementingkan kutipan cukai.
“Pucuk pangkal semakin berakarnya industri vape di negara ini gara-gara ‘floodgate’ yang dibuat oleh Kerajaan Madani apabila mereka gagal meluluskan RUU Generational Endgame sebagaimana niat asal RUU ini didraf,” jelasnya.
Katanya, situasi itu diperburukkan dengan langkah Kerajaan Pusat mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal dalam Akta Racun 1952 atas faktor ingin mencukaikan bahan itu.
Mereka berkata, apabila di peringkat Persekutuan perkara itu gagal dikekang, maka tibalah masanya kerajaan negeri memainkan peranan menyekat industri vape daripada berkembang tanpa kawalan.
Menurutnya, kerajaan negeri menggunakan kuasa di bawah Undang-undang Kecil melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976, sama seperti pendekatan kerajaan Kelantan dalam mengawal penjualan minuman keras.
Bagaimanapun katanya, langkah itu berisiko besar kepada poket dan populariti pemerintah negeri, memandangkan ramai anak muda adalah pengguna vape, sekali gus berisiko kehilangan undi.
“Namun itulah realiti mentadbir dan berkuasa. Tidak semua yang kita buat itu manis untuk rakyat secara zahirnya, namun percayalah ia tetap manis buat rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik,” terangnya.
Menurut Profesional Istiqamah, mencegah dengan kapasiti yang ada adalah usaha mulia dalam menjamin masa hadapan kesihatan rakyat Terengganu.
Katanya, pihaknya mendoakan agar para pengusaha vape dapat beralih kepada industri lain dengan bimbingan Kerajaan Terengganu, selain berharap kadar penggunaan vape di negeri itu dapat dikawal dan dikurangkan.
“Terengganu sudah memulakan langkah, negeri lain bila lagi? Ayuh kita selamatkan masa hadapan negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan