
Tetap jaga akidah dalam hubungan masyarakat majmuk
April 11, 2025
KANGAR: Umat Islam, khususnya para pemimpin, diingatkan agar memelihara prinsip akidah dalam hubungan bersama masyarakat yang majmuk, nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Katanya, penyertaan dalam mana-mana aktiviti atau upacara kepercayaan agama lain yang menyentuh soal ibadah dan akidah adalah sama sekali dilarang dalam Islam.
“Kita pelihara akidah kita. Kita yakin dengan Islam, Tuhan itu satu. Kalau perkara itu menyentuh akidah, maka tak boleh terlibat. Baik atas nama politik atau hubungan masyarakat,” ujar beliau.
Jelas Tuan Guru Hashim, Islam tidak melarang umatnya untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, sosial atau kebajikan bersama penganut agama lain selagi tidak melibatkan unsur ibadat atau pengiktirafan kepada kepercayaan mereka.
“Kalau setakat menziarahi jenazah bukan Islam, kita tunjuk simpati, itu dibolehkan. Kita hormat dia sebagai penduduk di tempat kita. Tapi kalau sampai ikut buat upacara agama, itu tak boleh. Itu sudah melibatkan akidah,” katanya.
Tuan Guru turut menyentuh fenomena politik semasa yang menyaksikan ada pihak sanggup menghadiri upacara keagamaan agama lain atas alasan menarik undi atau menjaga sokongan pengundi.
“Kalau sekadar pergi ke majlis yang ada unsur budaya macam pergi ke kuil tak jadi masalah. Tapi kalau pergi buat ritual agama, itu sudah masuk dalam perkara dilarang. Jangan kerana nak menang undi, kita gadai akidah,” tegas beliau.
Tambah beliau lagi, kekeliruan ini berlaku kerana masih ramai yang tidak faham batasan antara menjaga hubungan masyarakat dan menjaga akidah, lalu bertindak tanpa sedar telah terlibat dalam perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Justeru, beliau menyeru agar pihak berkuasa agama tampil menyediakan garis panduan jelas supaya umat Islam tidak terus terperangkap dalam kesilapan yang boleh merosakkan keimanan mereka.
“Kadang-kadang orang buat tanpa sedar. Mereka utamakan hubungan masyarakat lebih daripada akidah. Jadi kena ada panduan. Saya sokong sangat kalau pihak berkuasa boleh keluar garis panduan yang tegas,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan