
Tragedi Putra Heights: 769 laporan, kontraktor antara 179 individu dirakam keterangan - PDRM
Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil - April 12, 2025 @ 4:47pm
Pekerja kontraktor dan sukarelawan melakukan gotong-royong membersihkan persekitaran rumah penduduk Putra Harmoni susulan kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang 500 meter di Putra Heights. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
SUBANG JAYA: Sebanyak 179 keterangan direkodkan daripada pelbagai pihak berhubung siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini sejak 1 April lalu hingga semalam.
Polis Selangor dalam satu hantaran di Facebook berkata, ia membabitkan antaranya 179 saksi, 138 mangsa, agensi petugas (seorang), pemaju/kontraktor (10), pihak Petronas (empat), pihak berkuasa tempatan (dua) serta petugas Kementerian Kesihatan (seorang).
"Keterangan turut dirakam daripada seorang profesor madya bidang kejuruteraan dan binaan dari sebuah universiti, saksi polis (8) dan lain-lain (14)
"Setakat 6 petang semalam, 769 laporan polis diterima berkaitan kemalangan ini.
"Setakat hari ini (semalam), hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights yang masih beroperasi, menempatkan 78 keluarga membabitkan 301 orang," menurut hantaran itu.
Polis Selangor berkata pihaknya menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat kawalan keselamatan 24 jam di kawasan itu bagi menjaga harta benda yang ditinggalkan mangsa.
Katanya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 agensi sahabat giat melakukan siasatan berhubung insiden itu dan kerja-kerja pemulihan serta penilaian juga sedang berlangsung.
Antara agensi terbabit termasuk Koridor Utiliti Selangor (Kusel), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ulasan
Catat Ulasan