
Tragedi Putra Heights: Airbnb taja 78 kediaman sementara secara percuma untuk mangsa
Oleh Ruwaida Md Zain - April 5, 2025 @ 6:54pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
SHAH ALAM: Airbnb bersetuju menaja 78 kediaman sementara bagi tempoh dua bulan kepada mangsa yang terjejas dalam tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata proses pemberian bantuan perumahan itu sudah bermula, tetapi ia akan dimuktamadkan segera oleh EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah dengan pihak Petronas.
"Setakat ini kita sudah ada 178 unit rumah, 100 unit daripada rumah Smart Sewa yang akan disewakan secara percuma ataupun akan dibiayai oleh kerajaan negeri, manakala 78 unit dari Airbnb yang sudah berjanji dua bulan secara percuma.
"Kita akan selaras dan bincangkan sebab angkanya sudah bertambah 500 dan akan diselesaikan pihak bantuan perumahan.
"Sekarang kita perlu selesaikan bantuan awal yang kita cuba untuk agihkan, Insya-Allah. Maknanya, dalam tempoh seminggu pertama kita hendak selesaikan semua bantuan awal sebagaimana yang dijanjikan," katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex di sini hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, sebanyak lima kenderaan akan disediakan bagi menghantar pelajar dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke 34 sekolah bermula Isnin ini susulan tragedi itu.
Katanya, berkemungkinan lebih banyak kenderaan akan disediakan sekiranya diperlukan bagi memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dengan lancar.
Kita bersedia untuk menyediakan kemudahan tambahan jika keperluan meningkat," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan