Tragedi Putra Heights tak wajar jadi modal politik PRK - Khaled Nordin


Tragedi Putra Heights tak wajar jadi modal politik PRK - Khaled Nordin
Oleh Mohamed Farid Noh - April 7, 2025 @ 2:40pm
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah seperti bandar mati ketika tinjauan fotoBernama di lokasi kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA TINGGI: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tragedi Putra Heights tidak harus dijadikan modal politik untuk menyerang Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak, hujung bulan ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, kejadian malang seperti bencana mahu pun kemalangan bukanlah sesuatu yang boleh diramal atau dielakkan.



"Soal tragedi Putra Heights bukan soal kesilapan atau kelemahan Kerajaan Perpaduan, ini adalah satu bencana.

"Ia juga bukan sesuatu yang kerap berlaku. Puncanya sedang dikenal pasti dan kita harus berusaha memahami perkara ini dengan adil.

"Rakyat sudah bijak dalam menilai sesuatu isu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba mempolitikkan tragedi.

"Kalau begitu, setiap kali berlaku kemalangan jalan raya atau banjir, adakah semua itu perlu dijadikan isu untuk menyerang kerajaan terutama ketika berkempen dalam PRK. Ini perkara yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Parlimen dan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya sama ada tragedi Putra Heights boleh menjejaskan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) atau Kerajaan Perpaduan pada PRK Ayer Kuning.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februaru lalu, akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Insiden kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi Selasa lalu di Putra Heights, Subang Jaya mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pendekatan yang lebih matang perlu diambil dalam menangani bencana, bukan menuding jari tanpa asas yang kukuh.

Apatah lagi katanya, membawakan isu tragedi menjadi modal politik.

"Sekiranya kejadian seperti ini berlaku di negeri lain termasuk Kedah, adakah Kerajaan Perpaduan akan menggunakannya untuk menyerang pentadbiran negeri itu. Sudah tentu tidak," katanya.

Mengulas mengenai isu yang akan di bawa UMNO serta BN pada PRK Ayer Kuning, Mohamed Khaled berkata, agenda yang lebih besar dan isu pembangunan dan kesejahteraan akan diketengahkan.

"UMNO akan bawa soal bagaimana adanya kerjasama penubuhan kerajaan perpaduan termasuklah di Perak, tumpuan dapat diberikan kepada soal-soal untuk membangun dan menjaga kesejahteraan rakyat.

"Kita akan bawa kepada soal di mana rakyat perlu fahami cabaran dihadapi kerajaan termasuk yang datang dari luar seperti soal tarif Amerika Syarikat.

"Isu yang lain, kita tengok pula isu yang pembangkang bawa. Semestinya peluang ini digunakan untuk kata semua kerajaan buat tidak betul," katanya

Ulasan