‘UmDAP’ ada atau tidak? Penafian bercanggah realiti


‘UmDAP’ ada atau tidak? Penafian bercanggah realiti
April 24, 2025

SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata Umno sebenarnya telah bergabung dengan DAP, sekali gus menyanggah kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menafikan perkara itu.

Menurutnya, kenyataan Mohamad atau Tok Mat yang dilaporkan berkata Umno tidak bergabung dengan sesiapa termasuk DAP adalah tidak benar, malah bertentangan dengan hakikat sebenar hubungan kedua-dua parti dalam kerajaan campuran.

“Dengan tegas dan jelas, Timbalan Presiden Umno Tok Mat Hassan dilaporkan berkata di Tapah sebagaimana dipetik sebuah portal berita bahawa, ‘Jadi jangan silap faham kepada anak muda dan orang yang masih lagi mendengar fitnah-fitnah mengatakan Umno DAP, Umno DAP. Untuk setakat hari ini kami masih lagi bersendirian dan kami tidak bergabung dengan sesiapa’.

“Tambah beliau, ‘Tidak benar apa yang disebut bahawa Umno bergabung dengan mana-mana pihak terutamanya tuduhan liar mengatakan Umno ini ‘UmDAP’, Umno bergabung dengan DAP tidak benar, kami tidak bergabung dengan sesiapa sehingga sekarang’,” kata Roslan memetik kenyataan Tok Mat.

Menurutnya, Umno tidak selesa apabila dipalit atau dikaitkan dengan DAP walaupun mereka duduk bersama dalam kerajaan campuran di Perak dan di Pusat.

“Kenapa tidak selesa? Kenapa Umno tak mahu ‘UmDAP’? Kerana mereka sedar orang-orang Melayu termasuklah akar-umbi mereka sendiri telah mereka asuh berdekad-dekad lamanya untuk membenci dan menolak DAP.

“Hari ini Umno tahu kebencian itu masih menebal walaupun Umno sudah relakan diri berkerjasama dengan DAP, parti yang paling dominan dalam kerajaan Perak dan Pusat.

“Kita semua tahu Umno ditolak mentah-mentah oleh rakyat dalam PRU15 lalu, PRU yang turut melibatkan negeri Perak, ketika itu mereka belum berkerjasama dengan DAP lagi.

“Umat Melayu buat pertama kali menolak Umno sehingga cuma tinggal 26 kerusi Parlimen (DAP menang 40) seluruh negara dan cuma 8 kerusi di DUN Perak berbanding 18 yang dimenangi DAP.

“Sebahagian besar malah hampir semua kerusi majoriti Melayu di Perak dimenangi PN. Umat Melayu cukup kecewa dan berputus asa dengan Umno setelah mereka berikan kuasa puluhan tahun pada Umno,” katanya.

Beliau berkata, Umno kini berada dalam dilema kerana tidak pernah hilang kuasa dan bimbang kesannya terhadap kekuatan serta survival parti itu.

“Atas keadaan cemas dan terdesak Umno terima kerjasama dengan PH (yang didominasi DAP) untuk bentuk kerajaan di Pusat dan Negeri Perak walaupun terpaksa berpelukan dengan DAP.

“Mereka sedar api kebencian umat Melayu terhadap DAP masih meluap-luap, namun apakan daya, pimpinan mereka bimbangkan tekanan dan tindakan undang-undang justeru mereka peluk juga DAP walau dalam keadaan terpaksa dan pejam-pejam mata serta tutup hidung,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Tok Mat itu muncul menjelang PRK Ayer Kuning, ketika Umno cuba bangkit semula dalam kalangan orang Melayu.

“Namun, tiba-tiba tular klip video Nga Kor Ming bersama beberapa petugas Umno yang dengan selamba dan bangga melaungkan ‘UmDAP mantap, UmDAP mantap’.

“Kor Ming berjaya menunjukkan betapa beliau menguasai Umno dan ‘UmDAP’ ini penting buat DAP menguasai undi Melayu, tanpa peduli atau ambil kisah kenyataan tegas Tok Mat itu,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Tok Mat itu jelas tidak benar, kerana Umno sebenarnya bergabung dengan DAP malah bergabung sehingga ‘mantap’ sebagaimana dilaungkan Kor Ming dan penyokongnya.

“Lantas tidaklah salah dalam PRK DUN Ayer Kuning ini apabila jentera PN mengingatkan para pengundi khasnya pengundi Melayu, hubaya-hubaya, undi BN dapat DAP, undi BN dapat ‘UmDAP’.

“Kembalikanlah maruah agama dan bangsa, 26 April ini jangan lagi kita terpedaya, keluarlah beramai-ramai, nyatakan kecenderungan kita pada politik penyatuan ummah, pilihan kita hanya satu iaitu calon nombor 2, PN, Ustaz Muhaimin,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

Ulasan