
UMNO mampu menang, namun PAS ada tarikan 'heavyweight'
Dr Sharmin Kutty Sivaraman - April 5, 2025 @ 9:00am
CORAK pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dari 2004 hingga 2022 menyaksikan kerusi itu dipegang Barisan Nasional (BN) yang mengetengahkan wakil daripada UMNO.
Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula memberikan saingan signifikan.
Pada PRU15 pula, kawasan ini menyaksikan pertembungan lima penjuru, iaitu BN/UMNO, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), tetapi kemenangan tetap berpihak kepada BN.
Berdasarkan demografi pengundi, seramai 31,940 pengundi layak mengundi, iaitu Melayu sebanyak 55.97 peratus, Cina (22.9 peratus), India (14.38 peratus) dan Orang Asli (7.5 peratus).
Pada PRK 26 April nanti, PH mengesahkan tidak meletakkan calon, sebaliknya memberikan laluan kepada BN untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Bagi BN terutama UMNO, beberapa langkah penting perlu diberi perhatian, antaranya calon mampu menepati konsep WALI, iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disenangi (likeable).
Ini kerana komposisi pengundi DUN berkenaan bersifat pelbagai kaum walaupun majoritinya Melayu. Dalam hal ini, sumbangan pengundi bukan Melayu di kawasan berkenaan dapat mempengaruhi.
Pada masa sama, isu nasional utama diramalkan menjadi sentimen utama kepada pengundi terutama pengundi India.
Melihat kembali sejarah gelombang kumpulan HINDRAF pada 2007 menjelang PRU12, ia mengalihkan sokongan pengundi India daripada BN kepada pembangkang pada waktu itu.
Peralihan ini memberikan impak 'tsunami politik' yang menyebabkan BN hilang majoriti mudah dalam membentuk kerajaan negeri ketika itu.
Isu menarik perhatian pengundi juga berkaitan dengan Kuil Patrakaliamman di Kuala Lumpur walaupun ia sudah diselesaikan dengan cara baik.
Prestasi ekonomi jadi bahan kempen
Persoalan prestasi ekonomi Kerajaan MADANI dengan tekanan pelbagai isu yang dibangkitkan, turut dijangka menjadi bahan kempen, apatah lagi dalam kalangan masyarakat India yag memerlukan perhatian serius.
Isu tempatan seperti kemudahan pembangunan dan kos sara hidup juga masih perlu dilihat untuk menarik perhatian pengundi India.
Bagi pembangkang, iaitu PAS mewakili PN, mereka pastinya akan cuba membawa retorik untuk bersaing dengan BN apabila BERSATU mengesahkan tidak meletakkan calon, sekali gus menjadi sumber sokongan kepada calon PAS. Sokongan terhadap PAS juga meningkat sekitar 5,000 pengundi pada PRU12 kepada 7,000 pengundi di kawasan itu. PAS juga mengemukakan empat calon berpotensi menjadi calon.
Menarik juga diperhatikan adalah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PSM akan 'bergabung' dan turut bertanding PRK ini untuk memberikan pilihan kepada pengundi. Namun, prestasi PSM pada PRU15 berakhir dengan hilang deposit apabila hanya mendapat 586 undi.
Pada PRK ini, PSM dan MUDA perlu melihat isu nasional dan tempatan yang dapat menarik perhatian pengundi, manakala calon pula mestilah berpotensi untuk menyelesaikan segala isu rakyat.
Harus juga disebut, kekuatan Kerajaan Perpaduan di DUN yang terletak dalam Parlimen Tapah ini. Kerusi Parlimen itu disandang MIC menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan, yang juga mempunyai rekod prestasi sangat bagus dalam kalangan pengundi.
Apatah lagi di bawah Parlimen itu, DUN Cenderiang diwakili MCA dan Air Kuning oleh UMNO menerusi Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini. Justeru, kesatuan ini dapat dijadikan sebagai simbol penyatuan Kerajaan Perpaduan.
PAS juga mempunyai pengaruh besar di Ayer Kuning. Bekas Timbalan Presiden BERSATU yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azimu pernah menyandang kerusi DUN Chenderiang dan boleh menarik sokongan pengundi.
Ini akan menjadi simbol kekuatan untuk PAS menarik pengundi Melayu di DUN Ayer Kuning, malah mampu memberi persaingan kepada BN pada PRK nanti.
Harus diingat, sokongan pengundi Melayu memang diperlukan BN-PH, PN atau PSM, menjadikan pengundi bukan Melayu sebagai kingmaker pada 26 April nanti.
Di sebalik analisis atas kertas yang menyaksikan BN berpotensi besar untuk menang, retorik kali ini cukup lain.
Apatah lagi isu naratif perkauman diandaikan terus dimainkan sepanjang kempen PRK dalam mempengaruhi pengundi meskipun ia sepatutnya dielakkan untuk menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara.
Penulis adalah penganalisis politik
Ulasan
Catat Ulasan