Usir, dakwa penceroboh tanah
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
17 April 2025, 7:15 am
Isu pencerobohan tanah kerajaan secara haram seperti yang kecoh di Raub, Pahang baru-baru ini tidak boleh dibiarkan. Ia mesti ditangani dengan tegas.
Menyaksikan tindakan biadap dan kurang ajar kumpulan pekebun durian Musang King yang menghalang penguat kuasa dalam operasi pemusnahan kebun durian Musang King haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau yang bermula 8 April lalu, amat menyakitkan hati. Ia persis kata pepatah, “cacing naik ke mata”.
Mereka tak sedar diri. Sudahlah menceroboh tanah kerajaan seluas beribu-ribu ekar sejak 40 tahun lalu dan makan hasilnya, apabila kerajaan mahu ambil semula tanah, mereka melawan. Bagi betis nak paha.
Sepatutnya, mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi peluang mereka mengusahakan dusun durian dan mengambil hasil mashulnya sepanjang tempoh tersebut.
Ini turut membawa kepada titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah: “Sampailah masa kita bertegas tidak mahu berlaku lagi pencerobohan kawasan tanah dan hutan negeri ini dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik. Saya pun sudah naik darah bila mengetahui ada orang menceroboh tanah negeri Pahang”.
Jangan beri muka kepada mereka. Sebaliknya, perlu segera diambil tindakan undang-undang tanpa rundingan dan melayan tuntutan mereka di mahkamah sivil sepertimana sebelum ini.
Dalam masa sama, kita minta SPRM menyiasat kemungkinan terdapat individu tertentu atau kakitangan pihak berkuasa sendiri yang terlibat dalam rasuah.
Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas mengatakan bahawa pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan adalah kesalahan serius yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM500,000.
Semalam, seorang ahli perniagaan dan pekerjanya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan secara haram di Kampung Seberang Jelai, Lipis pada November tahun lalu.
Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkautnya, Chong Teck Kong, 62, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda seperti yang diperintahkan oleh Hakim Noor Aisah Mohamed.
Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh dikesan melakukan kegiatan tersebut hasil risikan dan serbuan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 21 November 2024 sekitar pukul 3 petang.
Pemeriksaan mendapati kawasan tanah seluas 0.101 hektar itu telah dibersihkan menggunakan sebuah jengkaut tanpa sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa.
Undang-undang memang sudah ada untuk mengekang pencerobohan ini. Cuma kita minta pihak berkuasa lebih peka dan memantau tanah-tanah kerajaan agar tidak kes seperti di Raub ini tidak berulang.
Pihak yang mengusahakan tanah kerajaan untuk pertanian juga disaran membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (LPS). – UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan