Ustaz Muhaimin teruja sertai proses demokrasi negara


Ustaz Muhaimin teruja sertai proses demokrasi negara

Fokus santuni seluruh warga penduduk bersama jentera PN
April 12, 2025

TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abd Muhaimin Malek berharap dengan jentera dan kudrat yang ada akan fokus menyantuni seluruh warga penduduk sepanjang tempoh dua minggu kempen.

Beliau mengulas demikian kepada media selepas disahkan penerimaan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selepas proses Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, di sini sebentar tadi.

Menurut Ustaz Muhaimin, beliau juga akan memberi perhatian kepada agenda pembaharuan dan penambahbaikan untuk anak muda dengan berperanan sebagai pemudahcara dan membina jalinan urusan golongan tersebut.

“Kita melihat, kita study dari beberapa sudut, insya-Allah untuk mengangkat martabat kedudukan anak-anak muda di sini. Keseimbangan antara fizikal dan rohani, anak-anak muda insya-Allah menjadi fokus kita sepanjang kempen kita.

“Insya-Allah jika diberikan kemenangan, ini juga kita akan angkat sebagai satu harapan dan juga sebagai satu manifestasi kepada kempen kita insya-Allah,” ujarnya yang merupakan seorang guru besar berlatarbelakang pengajian Islam itu.

Ditanya kemungkinan merasa tekanan berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN) dan bekas calon lalu yang juga aktivis PSM, Ustaz Muhaimin sebaliknya menyatakan rasa teruja beliau kerana bersama mengamalkan demokrasi negara pada PRK disertai itu.

“Lagi ramai yang bertanding, lagi bagus. Tapi alhamdulillah kita ada tiga calon sahaja. Insya-Allah kita sama-sama bekerja, kita sama-sama berlumba-lumba melakukan kebaikan, menyantuni rakyat di seluruh dalam DUN ini insya-Allah,” katanya.

Harakahdaily akan menyiarkan siri temubual eksklusif bersama Ustaz Muhaimin bermula hari ini di samping laporan harian perjalanan PRK Ayer Kuning sepanjang dua minggu ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

Ulasan