
3 tafsiran pertembungan kem Rafizi-Nurul Izzah dalam pemilihan PKR
Oleh Prof Datuk Dr Jayum anak Jawan - Mei 18, 2025 @ 8:41am
Nurul Izzah Anwar (kanan) dan Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto BERNAMA
PEMILIHAN PKR sesi 2025-2028 amat menarik kerana PKR sudah menjadi permata sejak menunjangi kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
Banyak 'habuan' tersedia bagi pemegang jawatan strategik dalam parti. Ia mula dirasai ahli sejak PKR berperanan besar menegakkan parti membentuk kerajaan.
Sebelum 2018, tawaran bertanding jawatan utama timbul atas semangat perjuangan. Tidak ramai mahu menawarkan diri kerana kemenangan bermakna perlu berkorban masa dan tenaga demi menegakkan keadilan, selain menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara.
Ini kerana pandangan umum dan pendirian PKR adalah Anwar dikhianati serta dianiaya melalui pendakwaan berbau politik dan dendam.
Namun, zaman sukar PKR sudah berlalu dan hanya tinggal sejarah. Sekarang zaman senang, ibarat musim menuai hasil tanaman. Ramai ingin bertanding merebut jawatan tertinggi parti kerana menjanjikan imbuhan.
Banyak nama besar keluar daripada PKR atas pelbagai sebab. Kalau dahulu Tian Chua dikenali sebagai pejuang sanggup berbaring di depan lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU), kini entah di mana.
Dalam era baharu PKR, sekiranya ahli tidak menang dalam pemilihan parti dan pilihan raya, umumnya mereka dianggap kurang berguna kepada perjuangan baharu, iaitu menuntut kuasa untuk membentuk kerajaan.
Seperti parti kerajaan lain sebelum ini, PKR kini rebutan ramai yang ingin menjadi ahli kerana ibarat lombong emas dan 'kolam empurau', spesis ikan air tawar mendiami air deras, antara termahal di Sarawak.
Namun, sayangnya PKR kini terjebak dalam penyakit perebutan kuasa, mungkin membawa mudarat kepada parti dan menjejaskan peluang untuk terus memerintah selepas PRU16.
Ketika ini, dua tokoh terkenal PKR bakal bersaing merebut nombor dua parti. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan kerusi disandangnya.
Beliau dicabar Naib Presiden lantikan, Nurul Izzah Anwar, anak kepada Perdana Menteri dan juga Presiden PKR. Kedua-dua tokoh ini mempunyai sumbangan besar diiktiraf ahli parti dan umum.
Sumbangan mereka berbeza, namun sama penting kepada pengukuhan parti bersaing dengan gergasi seperti Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Nurul Izzah dikenali sebagai 'Puteri Reformasi', menjadi penyambung perjuangan reformasi ketika bapanya dipenjarakan.
Sumbangan Rafizi pula sukar dinafikan, terutama dari segi ketajaman analisis membantu parti dalam pilihan raya. Beliau dianggap sebagai 'otak' dalam parti.
Bagaimanapun, pelbagai tafsiran boleh dibuat. Pertama, ia mungkin mencerminkan kewujudan puak dalam PKR. Ini menjadi lebih signifikan apabila faktor umur presiden parti akan menjangkau 80 tahun menjelang PRU16.
Justeru, pertandingan ini bukan sekadar antara Rafizi dengan Nurul Izzah, tetapi antara kem Rafizi dengan kem lawannya. Dalam konteks ini, Nurul Izzah adalah 'ayam sabung' kuat kerana bukan sahaja anak presiden parti, bahkan mempunyai reputasi tersendiri sebagai 'Puteri Reformasi'.
Oleh itu, beliau tidak boleh dianggap hanya menumpang nama Anwar kerana wanita ini membuktikan kewibawaan melalui usaha dan sumbangan sendiri.
Buka ruang bangkit
Kedua, kekalahan ramai pemimpin daripada kem Rafizi di peringkat cabang membuka ruang kepada pihak lain untuk bangkit. Mereka yang kalah bukan calang-calang orang. Kekalahan ini diambil sebagai isyarat sudah tiba masanya untuk puak lain mencuba nasib.
Bagi ahli daripada kem lawan Rafizi, menyokong Nurul Izzah adalah satu-satunya pilihan strategik untuk terus relevan dalam parti dan kerajaan. Sekiranya Rafizi kekal, masa depan mereka mungkin terjejas. Ini realiti dalam percaturan politik, yang menang akan mendapat segala-galanya, yang kalah akan kehilangan hampir segala-galanya.
Ketiga, Nurul Izzah dianggap calon paling berpotensi menewaskan Rafizi. Bagi kem lawan Rafizi, menyokong beliau adalah langkah rasional, bukan semata-mata bersifat peribadi. Mereka tidak semestinya lebih suka Nurul Izzah berbanding Rafizi, tetapi menyokong calon berpeluang menang adalah strategi biasa dalam politik.
Keempat, perang saraf sudah bermula. Ramai pemimpin utama PKR menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah. Sokongan ini dijangka meningkat kerana persepsi beliau akan menang dengan mudah.
Di pihak Rafizi pula, beliau memainkan perang psikologi apabila meminta penyokongnya menyokong Nurul Izzah. Beliau dilaporkan berkata kekalahan Nurul Izzah kepada dirinya akan dilihat sebagai teguran terhadap kepemimpinan Anwar sebagai presiden.
Rafizi tidak mahu hal ini menjejaskan imej 'boss'. Namun, sekiranya kenyataan itu benar dan ikhlas, Rafizi seharusnya mengundurkan diri untuk memberi laluan mudah kepada Nurul Izzah. Barulah seruan beliau dilihat jujur, bukan sekadar taktik psikologi.
Akhir sekali, siapa pun menang, perpaduan PKR tetap akan terjejas. Jika Nurul Izzah menang, kem Rafizi berkemungkinan akan dipancing parti lain seperti BERSATU, UMNO dan PAS.
Sebaliknya jika Rafizi menang, ahli daripada kem lawannya juga mungkin mencari jalan keluar. Namun, disebabkan 'bapa' mereka masih Presiden parti, mereka mungkin kekal berlindung di bawah payung presiden buat sementara waktu.
Penulis adalah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM merangkap Profesor Adjung, Institut Pengajian Borneo, UNIMAS
Ulasan
Catat Ulasan