
Ahli Parlimen gesa tangguh penarikan subsidi RON95, kenaikan tarif elektrik
05 Mei 2025 03:33pm
Masa membaca: 2 minit
Hamzah (kiri) dan Guan Eng menyuarakan pandangan mereka terhadap beban kos sara hidup yang semakin menghimpit pengguna dalam perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR - Dua ahli Dewan Rakyat menggesa kerajaan menangguhkan dasar fiskal seperti penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik berikutan kebimbangan terhadap tekanan kewangan ke atas rakyat akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyuarakan pandangan mereka terhadap beban kos sara hidup yang semakin menghimpit pengguna dalam perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat.
Hamzah berkata, penarikan subsidi petrol RON95 sebagai bahan api utama kebanyakan pengguna kenderaan harian dibimbangi bakal menambahkan tekanan kepada kos sara hidup akibat kesan tarif AS terhadap sektor perdagangan negara.
“Kita harus menangguhkan sebarang perubahan dasar, terutama dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kepada kos, melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna.
“Saya hendak beri contoh mengenai kenaikan harga RON95 Julai ini (apabila subsidi ditarik balik). Kerajaan akan ambil kira dan kalau boleh tangguh, kita tangguh.
"Sama juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai," katanya ketika Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, terdapat kebimbangan bahawa sumbangan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka menyusut sehingga 35 peratus sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah perlindungan sewajarnya berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, beberapa langkah fiskal seperti cukai, kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan e-invois perlu ditangguhkan bagi mengurangkan beban kewangan kepada industri berkenaan.
“Selain itu, menangguhkan pengapungan minyak RON95 kepada harga pasaran. Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan menangguhkan skop perluasan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 Mei 2025 amat dialu-alukan.
“Kerajaan juga harus menimbang menarik balik cadangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua peratus oleh majikan bagi pekerja asing.
“Menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) daripada tiga peratus kepada dua peratus,” ujarnya dalam perbahasan selepas Hamzah.
Ulasan
Catat Ulasan