Apa nasib 6,246 calon tidak ambil SPM?


Apa nasib 6,246 calon tidak ambil SPM?
Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar
3 Mei 2025, 7:20 am

WALAUPUN jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 tidak menghadiri peperiksaan menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus iaitu seramai 6,246 orang berbanding 8,676 tahun sebelumnya, namun perkara ini masih perlu diberikan perhatian serius semua pihak.

Persoalan besar yang timbul kini adalah apakah nasib calon tersebut? Lebih membimbangkan, sebanyak 1,789 calon gagal dalam semua mata pelajaran termasuk subjek Bahasa Melayu dan Sejarah, sekali gus menyebabkan mereka tidak layak mendapat sijil SPM.

Tanpa sijil tersebut, peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi amat terbatas. Lebih parah, kebanyakan jawatan dalam sektor kerajaan dan swasta meletakkan kelulusan SPM sebagai syarat minimum.

Ini menyukarkan mereka untuk mendapat pekerjaan tetap dan menjejaskan peluang memperoleh gaji permulaan yang kompetitif, memandangkan SPM masih dilihat sebagai penanda aras asas literasi dan numerasi oleh para majikan.

Meskipun terdapat beberapa pekerjaan yang tidak mensyaratkan kelulusan SPM, realitinya imbuhan dalam kerjaya seperti ini selalunya rendah.

Tambahan pula, Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Tanpa pelapis tenaga kerja mahir dalam bidang strategik, matlamat ini mungkin sukar untuk dicapai.

Namun begitu, adalah tidak wajar untuk menganggap kegagalan dalam SPM sebagai noktah dalam kehidupan. Apa yang penting adalah membuka semula laluan alternatif untuk golongan ini agar mereka terus maju ke hadapan.

Salah satu pilihan yang semakin diiktiraf ialah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Pelbagai institusi seperti Giat Mara, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan lain-lain, kini menawarkan program kemahiran membolehkan pelajar memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

TVET memberi fokus kepada latihan praktikal yang bersifat menyeluruh dan jauh daripada tekanan akademik tradisional. Program ini membuka peluang kepada mereka yang gagal atau tidak mengambil SPM untuk mempelajari kemahiran teknikal yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja semasa.

Malah lepasan TVET berpeluang melanjutkan latihan ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan seterusnya Diploma Lanjutan Kemahiran (DLKM).

Apa yang paling penting dalam laluan TVET bukanlah keputusan cemerlang atas kertas, tetapi minat mendalam, kesungguhan untuk belajar dan keterbukaan menguasai kemahiran baharu. Dunia hari ini memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang mahir secara teknikal, cekap menyelesaikan masalah dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri moden.

Justeru, bagi mereka yang merasakan laluan akademik bukan untuk mereka atau sedang mencari peluang kedua, TVET merupakan pilihan yang realistik dan semakin dihargai oleh majikan serta masyarakat.

Bagi mereka yang masih ingin menamatkan pendidikan akademik, sebenarnya jalan tetap terbuka. Ramai individu mengambil semula peperiksaan SPM sebagai calon persendirian sekali gus membuktikan bahawa semangat untuk mencuba semula patut dijadikan contoh.

Tiada SPM bukan pengakhiran hidup. Apa yang penting ialah kesediaan untuk berusaha, kemahuan untuk berubah dan keberanian mencuba laluan yang berbeza. – UTUSAN

Juani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan