Apakah sebenarnya AI?
May 19, 2025
Grid di atas kanvas membantu meletakkan bahagian muka dengan lebih tepat.
BILA mendengar istilah kecerdasan buatan atau AI (Artificial Intelligence), anda mungkin terbayang robot pintar atau komputer yang boleh berfikir sendiri seperti dalam filem fiksyen sains.
Sebenarnya, AI sudah pun wujud dalam kehidupan seharian kita. Dari telefon pintar yang melengkapkan teks mesej, sehinggalah laman web yang memberikan cadangan produk atau video untuk ditonton, semua ini adalah contoh AI dalam kehidupan seharian.
Jadi, apakah sebenarnya AI dan bagaimana ia berfungsi?
Secara ringkas, Kecerdasan Buatan (AI) ialah keupayaan mesin atau sistem komputer untuk melakukan tugasan yang biasanya memerlukan kecerdasan manusia. Dengan kata lain, komputer meniru cara manusia berfikir dan membuat keputusan.
Sebagai contoh, manusia boleh mengenali wajah seseorang atau memahami bahasa pertuturan maka komputer juga boleh dilatih untuk melakukan tugas-tugas serupa. Matlamat utama AI adalah membolehkan mesin menyelesaikan masalah, belajar daripada pengalaman, dan menyesuaikan diri dengan situasi baharu sepertimana manusia.
Bagaimana komputer boleh mengecam gambar seperti nombor plat kereta? Secara ringkasnya, pengecaman dibuat melalui teknik grid seperti yang digunakan oleh pelukis potret, antaranya Nancy Kominsky dalam rancangan TV Painting With Nancy yang pernah ke udara di saluran tempatan suatu ketika dahulu.
Teknik grid yang digunakan oleh Nancy Kominsky dalam lukisan potret adalah sama konsep dengan teknik pengecaman nombor MNIST dalam pembelajaran mesin. Kedua-duanya memecahkan imej kepada bahagian kecil supaya lebih mudah difahami dan dianalisis.
Nancy melukis grid di atas kanvas untuk membantu meletakkan bahagian muka seperti mata dan hidung dengan lebih tepat. Dalam konteks komputer, gambar seperti nombor tulisan tangan dipecahkan kepada piksel dalam grid 28×28, dan komputer akan berlatih mengecam corak dalam setiap piksel untuk mengenal pasti nombor.
Namun, cabaran yang lebih besar daripada mengenal nombor ialah mengecam objek kompleks seperti haiwan. Salah satu eksperimen penting yang menjadi penanda aras dalam sejarah AI ialah eksperimen oleh pasukan Google pada tahun 2012.
Mereka melatih rangkaian neural yang besar yang terdiri daripada lebih 1,000 komputer untuk mengecam imej kucing, tanpa memberitahu komputer apa itu kucing. Komputer tersebut dilatih menggunakan lebih 10 juta imej rawak dari video YouTube.
Selepas beberapa hari, sistem itu mula membentuk “pemahaman” sendiri tentang rupa kucing berdasarkan corak berulang dalam data. Ia satu pencapaian besar kerana pengecaman ini tidak diprogramkan secara eksplisit.
Eksperimen ini menunjukkan keupayaan pembelajaran mendalam (deep learning) untuk mengenal pasti ciri-ciri yang kompleks secara autonomi, tanpa panduan manusia. Jika MNIST mewakili peringkat asas dalam pengecaman corak, maka eksperimen Google menunjukkan AI boleh melangkah lebih jauh. Ia berpotensi mempelajari dunia secara terbuka dan tidak berstruktur.
Bidang AI sebenarnya telah melalui fasa yang panjang. Istilah Artificial Intelligence pertama kali diperkenalkan pada tahun 1956 oleh John McCarthy dalam satu persidangan di Dartmouth College, Amerika Syarikat. Ia menandakan permulaan rasmi kepada AI sebagai bidang penyelidikan akademik.
Dalam tahun-tahun berikutnya, penyelidik cuba mencipta sistem logik dan simbolik yang boleh menyelesaikan masalah seperti manusia, tetapi kemajuan agak perlahan disebabkan kekangan teknologi.
Pada tahun 1997, sistem Deep Blue oleh IBM mencipta sejarah apabila mengalahkan juara catur dunia Garry Kasparov [8]. Ini merupakan contoh awal bagaimana AI boleh mengatasi manusia dalam tugasan khusus. Namun, hanya dengan kemunculan Big Data (data besar) dan kuasa pemprosesan moden seperti Graphic Processing Unit (GPU), pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam benar-benar membuka potensi AI kepada pelbagai bidang seperti perubatan, kewangan, dan kenderaan pandu sendiri dan seumpamanya.
Walaupun AI tidak berfikir seperti manusia dan tidak memiliki kesedaran diri, kebolehannya untuk mengenal corak, membuat ramalan, dan menyesuaikan diri dengan maklumat baharu menjadikannya sangat berguna. AI hari ini bukan lagi sekadar mimpi masa depan. Ia adalah realiti semasa yang berkembang pesat, membawa perubahan kepada cara kita bekerja, berkomunikasi, dan menyelesaikan masalah.
Namun, seperti semua teknologi, AI bukanlah sesuatu yang “ajaib” atau bebas risiko. Ia memerlukan kefahaman, kawalan dan penggunaan yang bertanggungjawab agar manfaatnya dapat dimaksimumkan dan mudaratnya dapat diminimumkan.
Memahami apa itu AI dengan betul membolehkan kita membuat keputusan yang lebih bijak sebagai pengguna, pembuat dasar, pendidik, pelajar, dan masyarakat umum. Lebih penting, kita akan lebih bersedia menghadapi masa depan yang semakin banyak bergantung kepada kecerdasan buatan. – HARAKAHDAILY 19/5/2025
Beliau adalah penulis dalam bidang teknologi maklumat di medium.com. Tulisan beliau diterbitkan di ruangan DevGenius, TowardsDev, Python In Plain English, Low Code For Data Science dan System Weakness.
Ulasan
Catat Ulasan