Banyak masalah, aduan rakyat tidak diselesai kerajaan
May 20, 2025
GEORGE TOWN: Isu rokok elektronik (vape) antara perkara yang dibangkitkan oleh Amir Hamzah Abdul Hashim@Md Hashim (PN-Permatang Pasir) pada ucapan perbahasan beliau sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Dalam ucapan perbahasan tersebut beliau menegaskan, perkara itu sudahpun dibangkitkan pada sesi penggal yang lalu tetapi diulangi sekali lagi pada sesi kali ini berikutan penagihan vape ini boleh menyebabkan kematian.
“Saya ucapkan tahniah kepada negeri-negeri yang telah atau akan mengharamkan vape seperti Johor, Terengganu, Perlis dan Kelantan. Oleh itu saya harap Pulau Pinang dapat mengikut jejak langkah negeri-negeri tersebut,” seru beliau.
Dalam pada itu Amir Hamzah juga menarik perhatian warga sidang agar memberi perhatian kepada kesan-kesan akibat perubahan cuaca serta iklim yang tidak menentu yang berpotensi mengakibatkan bencana seperti banjir dan sebagainya.
Hujan lebat katanya yang berlaku lebih daripada tiga jam pada 21 April lalu telah mengakibatkan beberapa tempat di DUN Permatang Pasir dilanda banjir kilat.
Ekoran itu, seramai 42 mangsa daripada 13 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai, Permatang Pasir.
“Selain itu beberapa kampung lain seperti di Tanah Liat dan Permatang Rawa, punca banjir kilat ini difahamkan berlaku kerana Projek Tebatan Banjir (PTB) yang dijadualkan belum siap.
“Tetapi di Kubang Semang, Kampung Petani, Kampung Bukit Indera Muda, Kampung Pelet dan beberapa tempat lain bergantung kepada aliran Sungai Kubang Semang yang bergerak ke Sungai Derhaka dan terus ke Sungai Perai.
“Hasil tinjauan saya esoknya, air di ban busuk Sungai Kubang Semang masih lagi di paras tinggi sedangkan air laut pasang mati dan ada beberapa lokasi yang banjir sebelum ini, tidak mengalami banjir seperti di Kampung Kolam, Permatang Pasir,” jelasnya.
Justeru beliau memohon agar pihak kerajaan negeri dapat memberi penjelasan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi, sama ada ia berpunca dari Sungai Kubang Semang.
Iaitu persoalnya, sama ada tidak diselengarakan dengan baik atau perlu di perdalamkan lagi untuk melancarkan aliran air hujan yang bergerak ke Sungai Perai.
Dalam pada itu beliau juga mencadangkan agar parit air hujan dari Kampung Petani hingga ke Sungai Kubang Semang diperbesar atau diperdalamkan untuk membolehkan ia menampung air hujan disebabkan pertambahan rumah di sekitarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan negeri yang dilihat seolah-olah tidak prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir atas kerugian harta benda dialami.
“Saya memohon agar sedikit bantuan dapat diberi kepada mangsa banjir tanda simpati kerajaan kepada mereka. Pihak Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir dan Parlimen ada bantu. Kami mengadakan dapur rakyat, sediakan makanan kepada mangsa banjir dan dihantar ke PPS.
“Tetapi , malangnya, saya dikhabarkan terdapat pegawai yang bertugas di PPS itu ditukarkan kerana menerima bantuan makanan dari pembangkang.
“Saya pun agak kesal jugalah bila berlaku begini, tetapi saya harap pihak kerajaan dapat memberi penjelasan sebenar berkenaan perkara ini,” katanya lagi.
Ucapan perbahasan ADUN Permatang Pasir itu juga turut menyentuh berkenaan isu tempat simpanan abu mayat atau kolumbarium di Kepala Bukit yang pernah dibangkitkan berkali-kali di dalam Sidang DUN sebelum ini.
Pembinaan kolumbarium itu tegasnya, tidak sesuai dibina di kawasan terbabit kerana penduduk persekitaran majoritinya beragama Islam, sebaiknya ia dipindahkan ke kawasan lain yang lebih sesuai.
Selain itu beliau juga mengharapkan pembangunan yang melibatkan penerokaan baru di atas bukit khususnya di Bukit Indera Muda diperketatkan untuk mengelak aliran air hujan memasuki kawasan perkampungan apabila berlaku hujan lebat.
“Walaupun pembangunan masih belum pesat di atas bukit itu tetapi kawasan sekitar kaki bukit tersebut sudah sangat terkesan dengan banjir,” katanya lagi.
Seperkara lagi, Amir Hamzah turut menyentuh isu kedai dan lot-lot komersial yang diuruskan oleh agensi kerajaan negeri mahupun Pusat kerana masih banyak kekosongan, malah ada ditinggalkan begitu sahaja.
Contohnya ujar beliau, di Pekan Permatang Pauh di mana terdapat bangunan perniagaan ditumbuhi pokok diatas bumbung akibat terbiar, secara tidak langsung mencacatkan permandangan dan membawa risiko keselamatan.
“Bangunan yang sama dibiarkan kosong seperti bangunan perniagaan milik agensi kerajaan di dalam pekan Kepala Batas. Di Kampung Allayarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Jalan Perak pula hanya satu kedai saja yang beroperasi dan keadaannya sangat dhaif tidak diuruskan langsung.
“Bangunan MARA sebelah SUMMIT di Bandar Bukit Mertajam, banyak kedai yang tidak dibuka dan hampir tidak terurus. Begitu juga di Kompleks Dato’ Kailan, Kepala Batas, didapati banyak lot yang kosong dan sehingga terdapat notis telah dilekatkan oleh JKP.
“Oleh itu apakah usaha intervensi kerajaan negeri untuk memastikan bangunan ini dapat menarik perhatian peniaga atau usahawan untuk menyewa dan penyewa dapat mematuhi prosedur menyewa yang ditetapkan?
“Jika berterusan begini, bangunan tersebut berisiko menjadi bangunan gajah putih. Ini hanya nampak jelas di bina tanpa perancangan yang rapi,” bidasnya lagi.
Dalam pada itu kerajaan negeri juga tegasnya, perlu mengambil cakna terhadap kesesakan trafik yang sering menghimpit warga Permatang Pauh khususnya pengguna jalan raya di Jalan Kubang Semang.
Beliau difahamkan projek jalan pintas dari Bandar Perda ke Jalan Permatang Nibong dan jalan ke Kubang Semang akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut.
Namun katanya, kerajaan negeri wajar mengambil langkah jangka pendek untuk penyelesaian masalah itu kerana projek jalan pintas itu tidak tahu bila akan dilaksanakan.
“Penduduk di kawasan saya sedang menunggu untuk jangka masa pendek ini, apakah usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini?” soalnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan