
Buat dua kerja demi kehidupan lebih baik
Penghantar makanan daripada Grab.-GAMBAR HIASAN
Oleh SABRINA ZULKIFLI
5 Mei 2025, 7:12 am
KEHIDUPAN hari ini menuntut lebih daripada sekadar satu pekerjaan malah ia menuntut kekuatan, pengorbanan dan daya tahan mental yang luar biasa.
Di tengah-tengah lonjakan kos sara hidup dan beban kewangan harian yang semakin mencengkam, semakin ramai rakyat Malaysia khususnya anak muda terpaksa melakukan dua atau lebih pekerjaan demi kelangsungan hidup mereka dan keluarga.
Apa yang dahulu dianggap luar biasa kini semakin menjadi norma baharu.
Daniel Zulkefli, 26, berkata, harinya bermula pada pukul 9 pagi sebagai penolong akaun di sebuah badan berkanun dan berakhir hanya selepas tengah malam selepas selesai sebagai pemandu e-hailing.
Daniel mengakui jadual hariannya sangat padat dan hampir tiada ruang untuk diri sendiri.
“Mak saya merupakan seorang ibu tunggal dan saya anak sulung daripada tiga beradik. Tanggungjawab saya besar. Sebagai abang, saya terpaksa buat dua kerja untuk membantu dan menyara kehidupan kami.
“Pada waktu siang saya bekerja di pejabat dan selepas waktu kerja saya akan meneruskan dengan menjadi pemandu e-hailing sehingga malam. Kadang kala pada hujung minggu pun saya tidak berehat kerana ingin mencari duit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, di sebalik kesungguhan untuk mencari duit, kesan kepada kehidupan peribadi mula dirasai.
“Saya kurang masa dengan keluarga, dengan kawan-kawan pun jarang jumpa. Saya juga tidak sempat bersenam, rasa tidak produktif dan selalu letih,” katanya.
Walau bagaimanapun, Daniel masih menyimpan harapan untuk membina simpanan agar suatu hari nanti dirinya dapat membuka perniagaan sendiri.
“Saya harap kerajaan pertimbangkan naikkan lagi gaji minimum. Ramai yang buat dua kerja bukan sebab tamak, tapi sebab satu gaji memang tak cukup untuk perbelanjaan di ibu kota ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Erwannizam Osmand, 24, berkata, dirinya yang berasal dari Sabah kini bekerja sepenuh masa sebagai juruvideo dan editor di sebuah studio kreatif di ibu kota.
Namun, dengan pendapatan yang hanya cukup menampung sewa rumah dan makan minum, dia tiada pilihan selain melakukan kerja tambahan sambilan sebagai jurugambar dan penyunting selain pelayan jamuan dan pekerja gudang pembungkusan.
“Kerja utama saya cuma cukup untuk tampung saya seorang di bandar ini. Tapi sekarang saya sedang tanggung nenek yang sakit di kampung. Saya juga sedang dalam proses simpanan untuk kahwin dan beli tanah untuk masa depan,” katanya.
Erwannizam menyifatkan kehidupan sehariannya sebagai sangat padat dan tidak menentu, malah kadang kala membebankan mental.
Menurutnya, walaupun kerja sebagai jurugambar nampak mudah, hakikatnya ia menuntut banyak tenaga mental dan kreativiti yang tidak boleh dipaksa.
“Saya perlu bekerja sehingga pukul 2 pagi, tidur sekejap dan bangun semula pada pukul 6 pagi untuk menyambung semula pekerjaan. Jika tiada, saya akan bekerja pula di gudang,” ujarnya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan